Monday, January 9, 2012

terbakar

Hangus sekelip mata
SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
January 8, 2012
hangus terbakar
KUANTAN - “Harta yang saya ada sekarang ini hanyalah kad pengenalan sahaja, manakala yang lain-lain hangus dijilat api,” kata Fatimah Abdullah, 61, ekoran kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang berlaku petang kelmarin di Kampung Seri Mahkota.

Menurut Fatimah, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana menemani cucunya di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan sejak lima hari lepas.

“Semalam (5 Januari), saya ada singgah di ­rumah untuk mengambil baju, ­bagaimanapun, hari ini (6 Januari) saya lihat ­rumah sudah menjadi ­arang. Tiada satu barang pun yang mampu diselamatkan.

“Saya sudah tinggal di sini sejak 30 tahun lepas dan rumah ini banyak menyimpan sejarah hidup saya, namun kini hanya tinggal kenangan sahaja,” katanya.

Selain itu, bahagian belakang ­rumahnya pula dijadikan rumah sewa yang turut musnah dalam ­kejadian kebakaran itu.

Penyewa, Ady Noriman Zamri, 32, bersama isteri dan seorang anaknya juga tidak ada di rumah ketika ­insiden berlaku.

Menurut Ady yang sudah dua tahun menyewa di sini, dia keluar ­rumah bersama keluarganya dan ­terkejut apabila dimaklumkan ­rumahnya terbakar.

“Niat saya mahu keluar sekejap sahaja membawa anak dan isteri bersiar-siar, tetapi terkejut setelah dimaklumkan rumah kami terbakar.

“Seingat saya, sebelum keluar rumah, saya sudah pastikan semuanya dalam keadaan selamat, tetapi malang tidak berbau dan kami juga tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Seterusnya, bagi seorang saksi kejadian, Muhammad Syafiq Zaini, 17, berkata, sebelum itu dia baru ­sahaja pulang ke rumah yang terletak bersebelahan dengan rumah mangsa.

“Saya duduk di luar rumah dan terlihat asap dari bahagian belakang rumah ini. Pada awalnya, saya ­menyangka ada orang sedang bakar sampah, tetapi lama kelamaan terdengar bunyi tingkap pecah dan ­kelihatan asap berkepul-kepul ­dengan api yang marak.

“Ketika itu saya bergegas memberitahu ibu dan dia terus menelefon bomba. Bagaimanapun akibat api yang terlalu marak, rumah ini ­hangus tidak sampai 10 minit,” katanya.


Terima bantuan RM5,000

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar, Mohd Sohaimi Jusoh berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas dimaklumkan penduduk.

“Saya harap kedua-dua keluarga ini bersabar dengan dugaan yang menimpa mereka dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Mereka akan menerima ­bantuan kerajaan sebanyak RM5,000 dan pihak saya akan berusaha membantu keluarga ini sebaik mungkin dengan peruntukan yang sesuai.

Hadir sama Pegawai Daerah, Datuk Norhayad Ahmad.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hasaan berkata, sebanyak dua jentera bomba dari Balai Bomba Taman Tas dan Kuantan tiba untuk memadam kebakaran.

Menurutnya, kerugian mangsa dan punca kebakaran masih lagi ­dalam siasatan pihak bomba

No comments:

Post a Comment