Wednesday, January 11, 2012

wang br1m dah sampai

42,615 rakyat Pahang terima wang BR1M Ahad ini

KUANTAN 11 Jan. - Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 di negeri ini akan bermula secara berperingkat pada Ahad ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, bantuan tersebut akan disampaikan kepada 42,615 pemohon di seluruh negeri selepas ditapis oleh pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pahang.

"Majlis penyerahan tersebut akan diadakan di semua daerah di negeri ini yang mana surat penerimaan akan diserahkan kepada mereka oleh pemimpin setempat.

"Penyerahan itu juga dijangka akan mengambil masa dua hingga lima hari bergantung kepada ramainya penerima di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2012, Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali bayar RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi meringan beban rakyat berpendapatan rendah.

Muhammad Safian berkata, LHDN akan mengeluarkan surat kepada penerima berdasarkan proses penapisan borang permohonan yang dihantar oleh orang ramai.

"Surat tersebut akan diserahkan kepada pemimpin setempat seperti Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Penghulu.

"Jadi mereka akan serahkan surat itu kepada penerima dan mereka boleh datang ke tempat yang dinyatakan di dalam surat tersebut," katanya.

Katanya, beliau berharap orang ramai tidak menyerbu ke tempat penyerahan wang tersebut sebelum menerima surat penerimaan.

No comments:

Post a Comment