Sunday, January 22, 2012

orang kita

Masih tiada penyelesaian
AZIZAH SHAFIEI
January 23, 2012
lapor-polis
BERA – Lagi laporan polis dibuat berikutan isu subkontraktor memusnahkan dan membuka saluran air sehingga menyebabkan penduduk di enam perkampungan Orang Asli tidak mendapat bekalan air bersih.

Timbalan Ketua PKR Cabang Bera, Bob Manolan Mohamad berkata, tindakan tersebut sangat tidak wajar kerana perkara itu adalah isu dalaman antara subkontraktor dengan kontraktor utama.

Menurutnya, hal dalaman sepatutnya diselesaikan antara mereka dan tidak perlu membabitkan penduduk sehingga menyebabkan kegembiraan mereka terhenti begitu sahaja.

“Ada sebahagian penduduk di beberapa kampung terbabit sudah membina kolah atau singki untuk kegunaan seharian.

“Sekarang bukan sahaja mereka kerugian kerana perlu membina semua itu, tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk terus menerima bekalan air terus ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama beberapa wakil penduduk dari tiga kampung di Balai Polis Triang.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas, Sulaiman Mohamad dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman.

Bob Manolan berkata, kerja-kerja membuka semula saluran paip yang dilakukan secara berperingkat pada minggu kedua bulan ini juga menyebabkan hampir semua projek itu musnah.

Katanya, sehingga kini, kontraktor masih tidak mengambil sebarang tindakan untuk membaiki kerosakan itu.

“Malah, saya mendesak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kerajaan Negeri campur tangan dan membaiki segera segala peralatan yang dimusnahkan itu.

“Ada kampung sudah menerima bekalan air sejak tahun lepas, tetapi ada juga yang baru menerimanya tidak sampai tempoh seminggu. Jadi, tindakan ini benar-benar menyusahkan penduduk Orang Asli,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan untuk mengetahui dalang di sebalik isu itu selepas menerima laporan terbabit.

No comments:

Post a Comment