Monday, January 23, 2012

mintak air

Rakyat tagih janji lama
MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
January 23, 2012
air
KUALA ROMPIN - Setiap parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan membuat janji kepada pengundi menerusi manifesto yang mengandungi falsafah perjuangan, gagasan masa depan, strategi pembangunan dan program pelaksanaan.

Manifesto yang diumumkan menjelang PRU setiap lima tahun sekali wajib dinilai dengan teliti oleh rakyat terutama pengundi, sama ada janji-janji dalam manifesto yang lepas itu telah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya atau tinggal janji kosong.

Di Rompin, misalnya, kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili satu kerusi Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai manifesto masing-masing.

Namun, persoalannya, adakah semua janji yang ditaburkan itu dapat dilaksanakan sepenuhnya, atau ia hanya bersifat retorik semata-mata bagi memancing undi semasa PRU.


Elak rasa curiga rakyat

Penduduk, Norashafizan Mohd Ras, 29, berkata, sebagai pengundi muda, dia mahu setiap wakil rakyat yang dipilih di sesebuah kawasan itu menunaikan janji PRU lalu.

Norashafizan berkata, janji yang ditaburkan oleh wakil rakyat perlu dilaksanakan terutama dalam soal pembangunan rakyat secara keseluruhannya bagi memastikan BN mendapat sokongan semasa PRU akan datang.

Menurutnya, isu hak pemilikan tanah, perumahan generasi kedua dan kemudahan infrastruktur antara perkara yang perlu diberi perhatian memandangkan ia menjadi perkara utama yang sering dibangkitkan golongan muda.

“Isu yang penting ialah bagaimana wakil rakyat yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi dapat melaksanakan janji mereka terutama dalam soal hak pemilikan tanah.

“Saya percaya, isu ini menjadi sesuatu yang sensitif dan dituntut terutama bagi mereka yang mengusahakan tanah sawah seperti di Kampung Setajam dan Kampung Simpang Sepayang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, golongan petani terutama pesawah padi menuntut agar masalah seperti itu dapat ditangani segera memandangkan kebanyakan mereka telah lama mengusahakan tanaman itu sejak puluhan tahun lamanya.

“Bayangkan jika golongan ini (pesawah) masih tidak mempunyai geran hak milik tetap sedangkan mereka sudah memohon geran tanah bertahun lamanya dan ini mungkin mengundang rasa marah mereka kepada BN.

“Jadi kami berharap agar isu hak pemilikan tanah kelompok seperti ini diberi perhatian segera bagi memastikan masalah ini tidak terus membelenggu rakyat,” katanya.

Abdullah Hamzah, 49, berkata, penduduk juga masih menanti projek Hospital Rompin yang masih belum siap ekoran kelewatan projek tersebut.

Menurutnya, projek yang bermula Ogos 2009 dijangka mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan, namun atas faktor tertentu tempoh siap itu terpaksa dilanjutkan.

“Rakyat perlu diberi penjelasan berhubung hal ini memandangkan rakyat sudah lama menunggu kemudahan prasarana ini bagi kemudahan pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Umno Cawangan Kampung Aur, Nura Hamidi Mat berkata, pengundi berharap agar BN melunaskan segala janji di Kampung Aur terutama soal kemudahan infrastruktur dan bekalan air bersih.

Nura Hamidi berkata, penduduk di Kampung Aur Seberang misalnya masih menanti sumber bekalan air bersih sehingga kini berikutan terpaksa menggunakan sumber air Sungai Rompin bagi kegunaan harian.

“Kita berharap agar ada tindakan berhubung isu air di Kampung Aur Seberang dan kawasan penempatan Orang Asli berhampiran bagi memastikan rakyat terus sokong BN,” katanya.

Nura Hamidi berkata, selain itu, penduduk juga berharap jambatan gantung Kampung Aur dapat diganti baru sepertimana yang terkandung dalam manifesto PRU lalu.

“Permukaan lantai jambatan yang sering tercabut perlu diganti bagi memastikan keselamatan rakyat yang sering menggunakan jambatan ini lebih terjamin dan selamat,” katanya.


Pengundi Cina tagih bina Tabika

Pengerusi Tabika TPK, Tan Sheng Chin, berkata, pengundi Cina di Rompin berharap agar hasrat mereka untuk membina Tabika TPK di Tanjung Seratus, Kuala Rompin jadi kenyataan.

Sheng Chin berkata, hasrat itu sudah lama disuarakan memandangkan mereka mempunyai tapak tanah sedia ada bagi tujuan projek itu yang dijangka menelan belanja RM500,000 termasuk kemudahan prasarana lain.

“Tabika ini diharap dapat memberi ruang pembelajaran yang lebih selesa kepada murid-murid yang belajar di sini, memandangkan ia bukan saja menarik masyarakat Cina belajar di sini, malah kaum lain.

“Misalnya, pada tahun ini saja, bilangan murid Melayu lebih ramai iaitu 17 orang murid berbanding Cina seramai 17 manakala Orang Asli pula seramai empat orang murid,” katanya.

Bagaimanapun, Sheng Chin mengakui menerima khabar gembira apabila sebanyak RM180,000 telah diluluskan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berhubung perkara berkenaan.

Timbalan Pengerusi MCA Cawangan Bandar Baru Kuala Rompin, Chu Chang Haw, pula memberitahu kebanyakan pengundi Cina berharap agar kerajaan memberi pemberian hak pemilikan tanah kekal di Kampung Tebu Hitam.

Chang Haw berkata, seramai 60 pemohon kaum Cina berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu tanah kelompok pertanian itu dalam memastikan pengundi di situ terus memberi kepercayaan kepada BN dalam PRU akan datang.

“Kita sememangnya menyokong BN dan berharap isu seperti ini dapat ditangani kerana ada daripada pemohon tidak lagi mengusahakan tanah itu kerana bimbang tidak memperoleh status hak milik kekal,” katanya.


Masyarakat India mahu kuil

Ketua MIC Bahagian Rompin, Parianan A/L Lechimanan berkata, kira-kira 1,500 penganut agama Hindu di Parlimen Rompin mahu sebuah kuil bagi kemudahan mereka melakukan upacaya sembahyang.

Menurutnya, isu kuil amat penting kepada penganut agama itu kerana mereka terpaksa ke Kuantan atau Segamat dengan jarak perjalanan yang jauh untuk bersembahyang di kuil.

Bagaimanpun, katanya, kerajaan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Senator Datuk Maznah Mazlan menjelaskan bahawa permohonan mereka itu sudah diluluskan dengan peruntukan bernilai RM200,000.

“Kami sudah lama mohon sebuah kuil di Parlimen Rompin, namun baru-baru ini kami difahamkan kerajaan sudah beri kelulusan untuk bina kuil di Chenderwasih dan harap ia jadi kenyataan,” katanya.


75 peratus selesai

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Rompin, Wan Kadri Wan Mahusain berkata, kira-kira 75 peratus janji manifesto semasa PRU lalu telah ditunaikan setiap wakil rakyat di Parlimen itu, namun mengakui masih ada lagi perancangan yang akan dibuat bagi
memastikan semua janji itu terlaksana.

Wan Kadri berkata, BN sentiasa berusaha menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya walaupun ada kalanya ia mengambil sedikit masa untuk ditunaikan.

Menurutnya, kerajaan BN tidak pernah memungkiri janji semasa berkempen di dalam PRU lalu dan akan menunaikan segala janji apabila tiba masanya.

“Pada dasarnya semua janji dalam PRU sudah ditunaikan oleh setiap wakil rakyat, namun ada beberapa isu melibatkan proses yang lama untuk diselesaikan seperti masalah pemilikan tanah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masalah pemilikan tanah di Kampung Setajam, Rompin dijangka tidak berdepan masalah kerana ia telah memasuki peringkat akhir untuk diserahkan kepada pemohon.

Menurutnya, isu Hospital Rompin juga dijangka selesai Julai tahun ini memandangkan keperluan itu amat diperlukan penduduk yang memerlukan khidmat rawatan kecemasan di hospital kerajaan.

Katanya, BN juga sedia mengotakan segala janji-janji lain sebelum ini secara berperingkat-peringkat dan berharap agar rakyat memahami segala proses itu kerana beberapa projek itu masih dalam peringkat perlaksanaan.

“Sebagai contoh projek membina Tabika TPK seperti dalam janji PRU lalu sedang dalam proses akhir untuk memperoleh dana yang mencukupi sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment