Wednesday, January 11, 2012

ibu tunggal dapat rumah

Ibu tunggal terima rumah sendiri


AHMAD Shukri Ismail (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah PPRT kepada Roshaili Jaafar di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut, baru-baru ini. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD


JERANTUT 11 Jan. – Kehadiran tahun baru 2012 cukup bermakna buat seorang ibu tunggal, Roshaili Jaafar, 48, dan lima orang anaknya apabila kerajaan negeri menyumbangkan sebuah rumah bernilai RM35,000 di Kampung Bukit Rang, dekat sini.
Roshaili merupakan isteri kepada bekas Ketua Kampung Kedondong/Bandar dekat sini, Mohd. Ali Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos tahun lepas akibat komplikasi jantung dan darah tinggi.
Penyerahan kunci rumah berkenaan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail dan turut dihadiri Penghulu Mukim Pulau Tawar, Amir Hamzah Osman.
Menurut Ahmad Shukri, kediaman di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu pada asalnya dimiliki seorang warga emas yang juga cucu Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau, Ibrahim Omar yang telah meninggal dunia baru-baru ini.
“Oleh kerana arwah tidak ada waris, kita bersepakat dengan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Penghulu Mukim supaya rumah itu diserahkan kepada Roshaili yang tidak mempunyai kediaman tetap kerana sebelum ini menumpang di rumah milik saudaranya.
‘‘Saya memohon kerajaan negeri agar ibu tunggal itu memiliki status kediaman tersebut secara sah dan boleh tinggal dengan lebih selesa untuk mencari rezeki serta menyara persekolahan anaknya,” katanya kepada pemberita di Bukit Rang, dekat sini baru-baru ini.
Ahmad Shukri berkata, sumbangan itu adalah untuk menghargai jasa dan bakti arwah suami ibu tunggal berkenaan yang merupakan seorang ketua kampung, aktivis masyarakat, politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum meninggal dunia.
Sementara itu, Roshaili bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan kebajikan keluarga itu apabila menerima rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment