Sunday, December 11, 2011

bas temerloh

Desak campur tangan
Oleh : M FEISAL NORAWI
Tarikh : December 12, 2011
desak
TEMERLOH - Lebih 30 pemandu dan penumpang bas City Liner mendesak Kerajaan Negeri membantu mereka meneruskan operasi bas henti-henti yang digantung perkhidmatannya sejak 10 hari lalu.

Mereka mendesak kerajaan campur tangan kerana kebanyakan pemandu bas kehilangan sumber pendapatan utama, selain turut mengakibatkan ratusan pengguna perkhidmatan itu terkandas.

Pemandu bas, Ahmad Bila Adam 46, berkata, pemandu dan penumpang merayu kerajaan menyelesaikan masalah itu segera.

Menurutnya, sejak lebih 20 tahun bekerja dengan syarikat terbabit, masalah yang berlaku kali ini disifatkan paling buruk kerana kehilangan sumber pendapatan, terutama ketika harga barangan semakin mahal.

“Kami tidak ada punca pendapatan lain, sebab itu menggesa Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan campur tangan dalam isu ini.

“Mereka kena turun sendiri selesaikan masalah kami, sekurang-kurangnya adakan perbincangan dan jenguk kami di sini yang semakin tertekan,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan demonstrasi aman di Stesen Bas Henti-Henti Lurah Semantan, semalam.

Pemandu bas, Mohd Safran Abdul Karim berkata, pendapatan mereka kini hanya bergantung pada gaji pokok antara RM300 hingga RM600 sebulan.

Menurutnya, dia sendiri dibayar di bawah RM400 sebulan dan dengan pendapatan sebanyak itu sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara keluarga serta anak-anak yang masih bersekolah.

“Perkhidmatan bas digantung bermakna kami tidak ada kerja. Tidak ada kerja bermakna tidak ada gaji, macam mana nak sara keluarga,” katanya.

Sementara itu, Shamsudin Bakar 95, yang menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama ke bandar Temerloh sejak hampir 80 tahun lalu merayu kerajaan menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, dia menggunakan perkhidmatan bas dari rumahnya di Kampung Lebak, kira-kira tujuh kilometer dari Temerloh untuk bersarapan sejak tahun1937.

“Dulu tak pernah ada masalah macam sekarang. Elok juga buat demonstrasi macam ini supaya kerajaan dapat tahu apa masalah rakyat sekarang,” katanya.

Jumina Juhani 49, dari Temerloh Jaya berkata, dulu dia membayar RM1.60 untuk ke bandar Temerloh menaiki bas, tetapi kini terpaksa bayar RM10 sehari menaiki teksi.

“Kos yang tinggi seperti ini sangat membebankan terutama mereka yang berpendapatan kecil,” katanya.

Pada 3 Disember lalu Sinar Harian melaporkan puluhan pengguna bas henti-henti kecewa apabila pengangkutan awam yang digunakan saban hari di daerah ini menggantung sementara operasi berikutan tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment