Saturday, December 17, 2011

rumah relai

Blok rumah jatuh satu demi satu
Oleh : SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
Tarikh : December 16, 2011
tiada dinding
KUANTAN – “Sejak seminggu yang lalu, memang saya perasan struktur rumah semakin renggang tetapi sejak tiga hari kelmarin satu persatu blok rumah jatuh bermula dari bilik air dan ruang dapur,” kata Khamisah Ibrahim, 38 yang tinggal di Felda Bukit Kuantan di sini.

Dalam kejadian dua hari lalu, rumah yang didiami lapan beranak ini tidak selamat diduduki lagi berikutan berdepan dengan risiko tanah mendap yang teruk.

Menurutnya yang sudah lima tahun tinggal di rumah tersebut terkejut melihat dinding rumah yang semakin merenggang.

“Sejak dua tahun lalu, kami tambah rumah sedikit demi sedikit untuk keselesaan, tetapi apabila tiba musim tengkujuh ini, kami langsung tidak lena berikutan rumah yang seolah-olah bergegar setiap kali hujan lebat.

“Lebih menakutkan melihat dinding yang merekah dan kini sudah ‘melopong’,” katanya.

Bagi anaknya, Raja Badrul Amin Raja Bari Shah,14 yang bernasib baik apabila segera keluar dari bilik air rumahnya yang akhirnya jatuh menyembah bumi.

“Saya dengar bunyi mencurigakan dan selepas itu dinding bilik air jatuh lalu terus saya memanggil ahli keluarga yang lain untuk keluar rumah sebelum kesemuanya jatuh disebabkan kejadian tanah mendap ini.

“Saya juga tengok dinding dapur yang jatuh perlahan-lahan dengan bunyi yang kuat,”katanya.

Selain itu, kerugian juga dianggarkan lebih RM10,000 dan keluarga Khamisah kini hilang tempat tinggal berikutan rumah yang tidak selamat diduduki lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pihaknya sudah menyampaikan bantuan segera untuk meringankan beban keluarga ini.
“Saya akan berbincang dengan pihak atasan untuk mendapatkan bantuan rumah murah kepada mereka kerana rumah ini sememangnya tidak selamat lagi.,” katanya.

No comments:

Post a Comment