Sunday, December 11, 2011

lintasan maut

Umpama perangkap maut
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
melintas jalan
BENTONG – Pematuhan terhadap amalan melintas jalan yang betul dapat mengelakkan kejadian tidak diingini dari berlaku hingga boleh mengundang maut.

Sikap sesetengah orang awam yang suka membahayakan nyawa sendiri untuk melintas jalan di tempat tidak sesuai seperti di lebuh raya sememangnya dilihat boleh membawa bahaya.

Seorang pengguna jalan raya, Ahmad Khairul Zulkiflie, 32, berkata, dia pernah beberapa kali terserempak dengan orang awam yang cuba melintas lebuh raya terutama berhampiran susur masuk ke Bentong dekat sini ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

 Menurutnya, kemungkinan jarak untuk keluar ke jalan besar agak jauh menyebabkan mereka menggunakan jalan mudah dengan melintas di tengah lebuh raya lebih-lebih bagi yang tinggal di kawasan Taman Benus Jaya dekat sini.

“Keadaan seperti ini cukup berbahaya kerana di lebuh raya kenderaan dipandu dengan laju dan mempunyai laluan yang lebih besar dari jalan biasa.

“Mungkin mereka yang suka melintas di lebuh raya ini merasakan mereka tidak melakukan kesalahan tetapi ia sebenarnya memberi kesan kepada pengguna lain,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, orang awam dinasihatkan tidak melintas di lebuh raya terutama pada waktu malam kerana ia berbahaya.

Menurutnya, pada waktu malam pencahayaan terhad dan kenderaan biasanya dipandu laju.

“Elakkan melintas di tempat tidak sepatutnya kerana ia akan mengundang bahaya dan boleh membawa maut.

“Pengguna diminta mencari alternatif yang bersesuaian untuk melintas jalan terutama sekali menggunakan kemudahan jejantas atau menggunakan laluan yang biasa digunakan pengguna lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment