Tuesday, December 20, 2011

empower

Empower: 500 terima manfaat

TEMERLOH 20 Dis. - Seramai 500 penduduk di daerah ini berjaya mengubah kehidupan masing-masing apabila menyertai program kemahiran Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini.
Pengurus Besar Sosialnya, Zulkifli Yaakob berkata, mereka yang terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah itu mengikuti program tersebut yang menawarkan 10 kursus kemahiran selain pembangunan usahawan.
Menurutnya, program yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu itu dilihat membuahkan hasil apabila mereka mampu menjalankan perniagaan sendiri selain bekerja dengan syarikat swasta menerusi bidang kemahiran tertentu.
"Kursus yang ditawarkan ini tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk mengikutinya kerana ia diadakan selama dua kali seminggu.
"Maklumat yang diperoleh mendapati ada peserta terbabit bekerja dengan syarikat korporat dan menerima pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada tiga murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kampung Gentok, Mentakab di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong.
Zulkifli berkata, selain daerah ini, program seumpama itu diadakan di Bentong dan Kuala Lipis serta masing-masing satu di Terengganu dan Kelantan.
Menurutnya, tujuan diadakan program tersebut adalah untuk memastikan mereka mampu menjana pendapatan sendiri selain menyahut saranan kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan.
Dalam pada itu, Boon Seong memuji langkah ECERDC kerana menyediakan program tersebut dan berharap lebih ramai agensi swasta turut sama mengadakannya.
Katanya, langkah sedemikian selari dengan konsep 1Malaysia yang mahu semua masyarakat tidak kira kaum menikmati pendapatan sejajar menjadi negara maju menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment