Saturday, December 17, 2011

simen sebab banjir

Baki simen punca banjir
Oleh : NOOR AZIANTY NORMAN
Tarikh : December 17, 2011
simen2
KUANTAN – Sikap sambil lewa dan ambil mudah sekumpulan pekerja yang didakwa dari Pejabat Telekom Malaysia (TM) yang melakukan tugas di Jalan Penjara dikesali kerana boleh mengakibatkan banjir kilat di jalan raya dan bangunan berdekatan.

Mereka dikatakan membuang baki simen ke dalam longkang selepas menyiapkan tugas tanpa memikirkan kesan yang bakal berlaku terutama dalam musim tengkujuh.

Seorang peniaga kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu membuang lebihan simen ke dalam longkang di hadapan kedainya sehingga lebihan simen di dalam longkang melimpah ke atas jalan.

Na’imran Yunus, berkata, perbuatan itu menyebabkan saluran longkang tersumbat dan boleh mengakibatkan banjir kilat bukan sahaja di hadapan kedainya malah membabitkan kawasan sekitar.

“Dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang, apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak mahu kerana perbuatan orang lain, kami di sini yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya yang menjalankan perniagaan kad kahwin.

Katanya, sikap ambil mudah itu boleh mengundang masalah kepada pelanggannya kerana keadaan itu menjejaskan tempat letak kereta di kedainya dan mungkin menyusahkan pengguna jalan raya jika hujan lebat.

“Selepas ini, mungkin tidak ada pelanggan yang mahu berurusan di kedai saya memandangkan kawasan tempat letak kereta yang tidak sempurna,” katanya.

Katanya, selain kedainya, beberapa buah kedai lain serta kawasan perumahan berdekatan menggunakan saluran longkang yang sama.

“Sebelum ini, saya sudah membuat aduan kepada beberapa pihak. Namun, hingga kini masih belum ada tindakan yang diambil.

“Saya dimaklumkan, masalah itu berpunca daripada kontraktor TM. Justeru, saya harap pihak terbabit dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Pengiklanan dan Promosi TM Pahang, Yang Maziah Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati masalah yang timbul bukan berpunca daripada pihak TM mahupun kontraktornya.

“Masalah itu mungkin berpunca daripada syarikat pembekal utiliti yang lain. Pihak kami telah menghubungi pengadu untuk menjelaskan perkara tersebut dan dia menerima penjelasan daripada pihak kami.

“Bagaimanapun, kami mengucapkan terima kasih kepada pengadu di atas maklum balas diberikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment