Tuesday, December 6, 2011

litar di jenderak

Cadang wujud litar di Jenderak


AHLI Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed (kanan) bersalaman dengan para pelumba cilik yang menyertai Mini Karnival Rakyat DUN Jenderak di Kuala Krau, baru-baru ini.


KUALA KRAU 5 Dis. - Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak, bercadang mewujudkan satu litar motosikal di kawasan ini bagi memudahkan kanak-kanak dan remaja aktif dalam sukan itu secara berjadual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, cadangan pembinaan litar itu dilihat mampu menangani gejala lumba haram yang membimbangkan masyarakat ketika ini.
"Kegiatan itu dilihat mendatangkan banyak faedah kepada anak muda, kerana dapat menghindarkan mereka terjebak dalam melakukan kegiatan tidak berfaedah," katanya di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelumba kanak-kanak, Umi Kalsum Md. Jusoh, 12, berkata, dia meminati sukan mini motorbike sebelum memasuki darjah enam lagi dan kini telah menyertai banyak pertandingan berkenaan.
"Sukan ini sangat menyeronokkan dan banyak perkara baharu yang dapat saya pelajari.
"Tambahan pula, ibu bapa sangat menggalakkan dan memberikan sokongan padu kepada saya untuk terus aktif dalam sukan ini," katanya.
Ibunya, Hasnah Mohd. Arif, 51, berkata, dia tidak kisah anaknya menyertai sukan lasak kerana sukan berkenaan mengajarnya untuk menjadi lebih matang dan aktif dalam sukan secara berdisiplin.
Katanya, dia mahu anaknya meneruskan apa yang diminati dan tidak akan menghalangnya kerana sukan tersebut terbukti boleh memberikan manfaat kepada para peserta.
Seorang lagi peserta, Amninol Hafiz Muhamad, 12, berkata, dia baharu seminggu menyertai pertandingan itu dan berpeluang bertanding dengan rakan-rakan yang banyak pengalaman.
Katanya, sukan itu mendidik dirinya menjadi lebih berdisiplin dan memupuk jati diri.

No comments:

Post a Comment