Tuesday, December 27, 2011

dapat rumah

Ibu tunggal terima rumah bantuan JKKK Kg. Penak, GiatMara

TEMERLOH 27 Dis. - Seorang ibu tunggal di Kampung Penak, Mentakab di sini tidak pernah bermimpi mendapatkan sebuah rumah yang selesa memandangkan kesempitan hidup yang dilaluinya sekeluarga.

Namun, Siti Esah Mohamad, 53, kini boleh menarik nafas lega apabila menerima sebuah rumah baru hasil keprihatinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama GiatMara yang membantu membina sebuah rumah baru di belakang rumah lamanya.

Menurut Siti Esah, sebelum ini, jika hujan mereka sekeluarga tidak dapat duduk di dalam rumah lamanya kerana atap bocor dan strukturnya juga sangat uzur.

"Selama ini memang saya tidak pernah bermimpi mendapat sebuah rumah baru kerana kehidupan kami sangat susah. Saya tidak bekerja dan hanya ditanggung oleh anak-anak lelaki saya selepas kematian suami.

"Saya mempunyai sembilan orang anak dan dua orang anak perempuan saya sudah mendirikan rumah tangga. Saya tinggal bersama tujuh anak lelaki dan seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di Mentakab dekat sini, baru-baru ini.

Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong. Hadir sama, Pengurus GiatMara Temerloh, Lokman Awang dan Pengerusi JKKK kampung tersebut, Abdul Rahman Omar.

Siti Esah berkata, anaknya yang tergolong sebagai OKU itu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia bergantung hidup pada anak-anak lelakinya yang membuka bengkel di hadapan rumah secara kecil-kecilan.

"Apa yang menyedihkan saya, semua anak-anak saya tidak pernah bersekolah kerana kesempitan hidup. Alhamdulillah, walaupun begitu mereka ada kemahiran dan membuka bengkel," katanya.

No comments:

Post a Comment