Saturday, December 24, 2011

kaji elaun jkkk

Kaji semula penarikan elaun mesyuarat JKKK

JERANTUT 24 Dis. - Kerajaan negeri diminta mengkaji semula keputusan menarik balik elaun mesyuarat RM50 kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang mula berkuat kuasa pada awal bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, dalam pertemuannya dengan 14 JKKK di bawah DUN Pulau Tawar semalam, perkara itu menjadi antara isu yang dibangkitkan.

Katanya, ia berikutan kerajaan negeri tidak menyatakan sebab pemansuhan elaun berkenaan sehingga menimbulkan tanda tanya dan tidak puas hati di kalangan pihak pengurusan JKKK di negeri ini.

''Elaun mesyuarat itu perlu dikekalkan kerana ia bukan masa yang sesuai untuk kerajaan negeri menarik balik perkara itu sedangkan pada masa sama pelbagai bantuan lain dengan jumlah yang lebih besar terus disalurkan kerajaan negeri kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

''Saya tidak bersetuju dengan pembatalan pemberian elaun JKKK ini kerana jumlah itu amat kecil jika hendak dibandingkan dengan peranan dan tugas JKKK yang menjadi penghubung serta perantara masyarakat dengan pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek elaun bulanan sebanyak RM11,200 kepada seramai 14 orang ketua kampung DUN Pulau Tawar, di sini semalam.

Menurutnya, elaun mesyuarat RM50 itu dapat menyuntik semangat kalangan Ahli JKKK bagi membincangkan kebajikan penduduk setempat dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan.

''Kerajaan negeri perlu melihat elaun RM50 ini sebagai satu platform untuk menggerakkan pengurusan JKKK di samping dapat menghargai jasa dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat setempat selama ini.

''Pemansuhan elaun RM50 ini perlu dikaji semula dan saya sedia berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menyelesaikan masalah ini berasaskan situasi menang-menang," ujarnya.

Tambah beliau, Ahli JKKK perlu bertugas seperti biasa dan meneruskan komitmen kepimpinan secara aktif untuk menjana pembangunan dan kebajikan penduduk di kawasan masing-masing walaupun elaun berkenaan ditarik balik.

No comments:

Post a Comment