Tuesday, December 6, 2011

roboh rumah

Rumah empat keluarga miskin bakal diroboh


AHMAD Khalizam Mohamad (kanan) bersama keluarganya di hadapan rumah sewa mereka di 73, Jalan Lipis - Benta di Taman Pacu Lama, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 5 Dis. - Kerajaan negeri diminta campur tangan dalam menempatkan empat keluarga yang tinggal di pesisiran Sungai Lipis, berikutan kediaman mereka akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek perumahan baharu.
Empat keluarga terdiri daripada Melayu dan India yang tinggal di situ, telah menduduki tanah milik seorang pengusaha tempatan sejak 13 tahun lalu.
Selain itu, mereka juga kesal kerana sudah beberapa kali memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
Seorang penduduk, Ahmad Khalizam Mohamad, 53, berkata, fikirannya buntu apabila pemilik tanah berkenaan memberi tempoh singkat supaya mereka berpindah segera.
"Ke mana lagi saya dan empat ahli keluarga lain hendak menetap, lantaran kami tidak mempunyai tapak rumah serta wang untuk membina penghidupan di tempat lain.
"Saya kerap kali mengajukan masalah ini dan memohon rumah di bawah PPRT menerusi wakil rakyat di sini dan pihak tertentu, malangnya tidak ada jawapan sehingga kini," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pemilik tanah tersebut yang cuma memiliki kelulusan berstatus Tanah Pemilikan Sementara (TOL) mengarahkannya bersama tiga keluarga yang tinggal di situ keluar segera dari kawasan berkenaan.
"Alasan yang diberikan oleh pemilik tanah ini, iaitu merobohkan segera rumah kayu yang sedia ada bagi dimajukan projek perumahan baharu," ujarnya.
Isterinya, Sharipah Ismail, 48, berkata, mereka tidak mampu menyewa rumah di bandar itu kerana kadarnya mahal.
"Pendapatan saya yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah agensi kerajaan, mana mampu menyewa rumah di bandar ini, malahan belanja dapur dan persekolahan juga kian terhimpit," katanya.

No comments:

Post a Comment