Wednesday, December 14, 2011

pendapatan orang asli

Menjana pendapatan Orang Asli

TEMERLOH 14 Dis. - Pembinaan Bangunan Kebudayaan Kampung Orang Asli Che Wong dapat mengubah cara hidup dan menjana pendapatan masyarakat itu di Kuala Gandah, Lanchang dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, penduduk di kampung tersebut tidak lagi perlu bergantung hidup dengan mencari hasil hutan kerana mereka boleh menghasilkan pelbagai jenis produk kraftangan di ruangan lebih luas dalam bangunan tersebut.

"Purata pendapatan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut ialah RM350 sebulan, jadi mereka boleh manfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Genting Malaysia Berhad untuk menambah pendapatan dengan menjual hasil kraf tangan kepada pelancong di Kuala Gandah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tok Batin kampung itu, Bakri Raja Teh mengucapkan terima kasih kepada syarikat itu kerana membina bangunan tersebut untuk kegunaan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

"Kami tak perlu lagi berhimpit untuk belajar dan membuat kraftangan seperti di dalam pondok sebelum ini. Kami akan gunakan se gala kemudahan yang diberi untuk kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu seorang penduduk kampung itu, Najib Ning, 38, berkata, mereka dapat berlatih pelbagai aktiviti kebudayaan dengan lebih selesa dan sempurna.

"Ruang legar yang luas membolehkan kami berlatih dan mempersembahkan tarian Sewang kepada orang ramai dan pelancong yang datang ke sini," ujar penoreh getah itu.

Seorang kanak-kanak, Nurain Abdullah, 9, pula gembira kerana kanak-kanak di perkampungan itu dapat menjalani proses pembelajaran dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Sekarang kami sudah ada kelas lebih selesa yang dilengkapi dengan banyak kemudahan seperti kerusi, meja, kipas dan bahan bacaan yang mampu menarik minat penduduk di sini untuk menuntut ilmu," katanya.

No comments:

Post a Comment