Monday, December 12, 2011

asli sokong bn

Orang Asli sokong BN


Ismail Sabri Yaakob ketawa melihat gelagat seorang pelajar perempuan yang sedang mencuba tudung selepas majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Sekolah Parlimen Bera di Bera, kelmarin.


BERA 12 Dis. – Barisan Nasional (BN) yakin masyarakat Orang Asli di daerah ini akan menyokong dan mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyarakat itu perlu terus menyokong kerajaan sedia ada kerana BN banyak menabur jasa dalam memberi kemudahan dan membela nasib mereka.
Katanya, sejak dahulu lagi masyarakat Orang Asli di daerah ini sentiasa menyokong BN dan kali ini diharap sokongan tersebut tidak akan berubah terutama pada pilihan raya nanti.
“Kerajaan sudah banyak melaksanakan projek pembangunan di perkampungan Orang Asli di Parlimen Bera sejak dahulu hingga kini, malah sebahagian perkampungan terbabit mendapat kemudahan prasarana serba lengkap.
“Kerajaan menyediakan prasarana seperti dewan, jalan, bekalan air dan elektrik serta membaiki serta membina rumah kepada masyarakat pribumi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan pakaian sekolah Parlimen Bera yang disumbangkan oleh Bank Rakyat kepada lebih 2,500 pelajar termasuk anak-anak Orang Asli di sini semalam.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman dan Datuk Mohd. Aini Taib.
Menurut beliau, kerajaan telah membina dan membaiki lebih 40 rumah di beberapa perkampungan Orang Asli di daerah itu.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, Orang Asli tidak lama lagi akan mendapat geran hak milik tanah masing-masing seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tanjung Sepat, Selangor baru-baru ini.
“Kerajaan tidak akan membezakan masyarakat Orang Asli, malah mereka akan diberi pembelaan bagi meningkatkan taraf hidup yang mana bantuan wang persekolahan RM100 serta Bantuan Rakyat 1Malaysia RM500 akan turut diberikan kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment