Wednesday, December 28, 2011

ceriakan bandar kuantan

RM2 juta ceriakan bandar Kuantan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 27, 2011
Bandar Kuantan
KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menceriakan bandar Kuantan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2012 yang akan berlangsung Julai tahun depan.
 
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, peruntukan itu termasuk menceriakan landskap dan pencahayaan.
 
“Kerja-kerja menceriakan bandar Kuantan akan dilaksanakan awal tahun depan.
 
“Sebagai tuan rumah, kita perlu bersiap sedia dalam semua aspek supaya tetamu yang datang selesa berada di negeri ini,” katanya ketika Majlis Pelancaran ‘Kuantan Liveliest Host’ sempena Sukma 2012, kelmarin.
 
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz.
 
Zulkifli menambah, peruntukan yang disediakan bukan hanya untuk menceriakan venue-venue sukan, malah seluruh bandar Kuantan.
 
“MPK tampil untuk membantu Kerajaan Negeri bagi merealisasikan permintaan rakyat. Kita mahu acara itu nanti berlangsung dengan meriah dan ceria di samping layanan mesra masyarakat Kuantan kepada tetamu,” katanya.
 
Menurutnya lagi, pelancaran ‘Kuantan Liveliest Host’ merupakan satu kempen kesedaran kepada mereka yang berkepentingan.
 
“Kita harap, dengan adanya kempen ini, masyarakat khususnya peniaga, pemilik pasar raya, pemilik hotel, orang kampung akan meraikan penghormatan sebagai tuan rumah.
 
“Selain MPK, mereka juga bertanggungjawab untuk mengekalkan kebersihan serta keceriaan bandar Kuantan,” katanya.
 
Sementara itu, Mohamad Sahfri berkata, sebagai tuan rumah, Kuantan perlu membuat persiapan mantap kerana Sukma 2012 bakal ditonton di seluruh Malaysia termasuk Brunei.
 
“Kita juga perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana bukan semua perkara berjalan seperti apa yang dirancang," katanya.

No comments:

Post a Comment