Wednesday, December 14, 2011

suku che wong

Transformasi suku Che Wong


Sultanah Kalsom melihat kanak-kanak Orang Asli mewarna lukisan di Bangunan Kebudayaan Orang Asli Che Wong.


TEMERLOH 14 Dis. - Masyarakat Orang Asli suku Che Wong di Kuala Gandah, Lanchang dekat sini mengalami transformasi dalam kehidupan mereka dengan kerjasama Genting Malaysia Berhad.
Tanggungjawab sosial korporat syarikat itu yang menyumbangkan sebuah bangunan serbaguna dikenali sebagai Bangunan Kebudayaan Orang Asli Che Wong amat bermakna kepada hampir 388 penduduk yang menetap di kawasan tersebut.
Bangunan seluas 2,800 kaki persegi bernilai RM180,000 itu dilengkapi bilik darjah, bilik bacaan dan ruangan khas untuk aktiviti kebudayaan serta kraf tangan.
Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting, Datuk Anthony Yeo (gambar) berkata, bangunan tersebut dibina bertujuan mengubah cara hidup masyarakat Orang Asli di situ dalam bidang akademik dan meningkatkan hasil pendapatan menerusi kraf tangan mereka.
“Masyarakat di sini terpinggir dan ramai yang buta huruf termasuk golongan dewasa. Mereka juga pemalu untuk berinteraksi dengan orang luar.
“Jadi, kami mengambil inisiatif mendampingi dan menyelami masalah mereka supaya masyarakat Orang Asli di sini mendapat pendidikan lebih baik dan mampu berkomunikasi dengan orang luar terutama pelancong yang datang ke Kuala Gandah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan tersebut baru-baru ini.
Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom berkenan menyempurnakan majlis yang turut dihadiri isteri Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Berhad, Puan Seri Cecilia Lim; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin.
Pada majlis tersebut, Sultanah Kalsom turut beramah mesra dengan rakyat dan menyampaikan sumbangan beras serta hamper kepada 83 keluarga Orang Asli suku Che Wong.
Anthony berkata, pada November 2008 pihaknya mengadakan program di Kuala Gandah dan ketika itu timbul idea membina bangunan tersebut apabila melihat kesukaran masyarakat Orang Asli di situ menjalani kehidupan seharian.
Beliau memberitahu, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dan membuat keputusan membina bangunan tersebut sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
“Pembinaan bangunan tersebut turut mendapat bantuan sukarela daripada pasukan khidmat masyarakat Genting yang bergotong-royong bersama penduduk Orang Asli di sini,” katanya.
Menurutnya, 388 Orang Asli di kampung berkenaan kini mempunyai tempat selesa untuk membuat kraf tangan di samping menjadikan ruang legar bangunan itu sebagai tempat mempersembahkan tarian Sewang kepada pelancong.
Selain membina bangunan tersebut, syarikat itu juga menjalankan beberapa aktiviti kemasyarakatan lain termasuk Badan Amal Nur Zaharah, Janda Baik, Yayasan Sunbeams Home di Batang Kali, Selangor dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Tinggi, Bentong.
Sementara itu, seorang guru dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Zaliah Ali berkata, pembinaan bangunan tersebut bagaikan satu dunia baru kepada masyarakat Orang Asli di situ.
“Sebelum ini mereka terpaksa berhimpit dan menjalankan tiga aktiviti iaitu pembelajaran, kebudayaan dan kraftangan secara serentak di dalam sebuah pondok yang tidak selesa,” katanya.
Zaliah berkata, dengan adanya bangunan kebudayaan tersebut, masyarakat Orang Asli itu akan mendapat pendidikan lebih sempurna dan berlatih aktiviti kebudayaan serta membuat kraftangan di tempat yang lebih selesa.

No comments:

Post a Comment