Saturday, December 17, 2011

lemas

Pembantu kedai mati lemas
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 16, 2011
jenazah
TANJUNG GEMOK - Hajat seorang pembantu kedai makan untuk merasai sendiri pengalaman bermandi manda di sebuah kolam terbiar di Ladang Yayasan Pahang Plantation, di sini, tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Nor Azila Mohamad, 16, pergi ke kolam itu sendirian untuk mandi, namun dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam terbabit.

Majikan mangsa, Samsudin Hassan, 52, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja warga asing.

“Selepas diberitahu berhubung perkara itu, saya terus berlari ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dan berkemungkinan telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Samsudin berkata, sewaktu kejadian, pekerja Indonesia yang berada berhampiran kolam terbabit dikejutkan dengan jeritan mangsa meminta tolong, sebelum melihat mangsa beberapa kali tenggelam timbul.

“Melihat keadaan panik itu, pekerja itu terus terjun ke kolam untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana dipercayai mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penduduk yang menyaksikan kejadian itu masih belum berputus asa kerana sebaik saja mangsa dinaikkan ke darat, dia diberikan bantuan pernafasan (CPR).

“Denyutan nadi mangsa pada waktu itu sudah terhenti, namun kami (penduduk) tetap memberi bantuan kecemasan dengan harapan dia boleh diselamatkan,” katanya.


Mangsa tidak pernah mandi kolam

Samsudin berkata, dia hairan bagaimana mangsa boleh ke kolam berkenaan kerana sebelum ini, mangsa tidak pernah mandi di kolam itu sejak mengenalinya lebih tiga bulan lalu.

“Nor Azila sebelum ini pernah bekerja dengan saya, tetapi dia ambil keputusan untuk berhenti, namun sejak seminggu lalu, saya panggil dia bekerja semula kerana saya kekurangan pekerja.

“Apa yang saya tahu, Nor Azila sebelum ini tidak pernah ke sana (kolam terbiar) walaupun jarak kedai dengan kolam itu hanya 100 meter, tapi tak tahu kenapa hari ini (semalam) dia tiba-tiba ke kolam itu tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Menurutnya, kolam berkenaan sebelum ini memang digunakan penduduk, tetapi ia sudah lama terbiar dan dipercayai mempunyai kedalaman empat meter.

“Saya percaya kolam itu dalam dan jika tak pandai berenang sudah tentu boleh lemas.

"Lebih-lebih lagi musim hujan sekarang ini menyebabkan air kolam terus meningkat dan merbahaya kepada orang ramai,” katanya.


Berubah sikap

Ibu mangsa, Sun Md Isa, 56, berkata, kepulangan Nor Azila ke rumah mereka di Jalan Pantai 7, Kampung Jawa, di sini, Sabtu lalu adalah kali terakhir dia menatap wajah anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Saya masih terkejut dengan kejadian ini kerana merasakan masih baru melihat Nor Azila pulang ke rumah dengan tergesa-gesa sebelum dia mengambil pakaiannya untuk kembali semula ke tempat kerja,” katanya.

Sun berkata, dia langsung tidak menduga, kain baju yang diambil Nor Azila untuk dipakai sewaktu bekerja di sana, adalah petanda anaknya itu akan pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya.

“Mungkin ini sudah suratannya. Walaupun jauh di sudut hati saya merasakan kehilangannya, tapi saya reda dengan ketentuan ini kerana menganggap ada hikmah di sebalik sesesuatu kejadian itu,” katanya.

Sun berkata, sewaktu pulang ke rumah, Nor Azila lebih banyak mendiamkan diri dan langsung tidak mengendahkan anak saudaranya berusia dua tahun yang mahu bermanja dengannya.

“Dia jadi pendiam, tak banyak cakap, malah langsung tak layan anak buahnya yang datang dekat dengannya untuk bermain. Saya dapat lihat sikapnya berubah,” katanya.

Bapa mangsa, Mohammad Hassan, 62, berkata, dia terkejut apabila anaknya itu tidak bermalam di rumah kerana tergesa-gesa pulang ke tempat kerja.

“Biasanya dia tidur di rumah ini satu atau dua malam, namun pada hari itu dia hanya singgah ambil kain baju. Saya macam tak percaya dia kini sudah tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya me­ngesahkan kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Polis minta orang ramai jangan hampiri kawasan rendah dan berbahaya seperti di sungai, kawasan persisiran pantai, longkang serta kolam terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Poliklinik Tanjung Gemok sebelum dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment