Wednesday, December 14, 2011

bantu pulihkan city liner

Selesai segera masalah operasi bas City Liner

TEMERLOH 14 Dis. - Kerajaan negeri diminta supaya menyelesaikan masalah operasi perkhidmatan bas henti-henti yang dikendalikan oleh syarikat City Liner bagi memastikan pengangkutan awam itu kembali pulih seperti sediakala.

Selain itu, lebih 30 pemandu bas syarikat tersebut kehilangan sumber pendapatan utama dan mendesak kerajaan negeri campur tangan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Seorang pemandu bas, Ahmad Bila Adam, 46, berkata, pemandu dan penumpang merayu kerajaan menyelesaikan masalah itu segera memandangkan perkhidmatan pengangkutan itu menjadi keutamaan penduduk di daerah itu.

Menurutnya, sejak bekerja dengan syarikat itu lebih 20 tahun lalu, masalah yang berlaku kali ini agak perit kerana kehilangan sumber pendapatan utama dalam keadaan harga barangan semakin mahal sekarang.

"Kami tidak ada punca pendapatan lain, sebab itu menggesa kerajaan negeri atau agensi berkaitan berkaitan campur tangan dalam isu ini.

"Mereka kena turun sendiri dan sekurang-kurangnya adakan perbincangan supaya perkara itu diselesaikan segera," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di Stesen Bas Henti-Henti di Lurah Semantan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pemandu bas, Mohd. Safran Abdul Karim berkata, pendapatan mereka kini hanya bergantung pada gaji pokok antara RM300 dan RM600 sebulan.

Menurutnya, dia sendiri dibayar di bawah RM400 sebulan dan pendapatan sebanyak itu tidak cukup untuk menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.

Dalam pada itu, seorang penumpang bas, Shamsudin Bakar, 95, yang menggunakan perkhidmatan bas berkenaan sebagai pengangkutan utama ke bandar Temerloh merayu supaya kerajaan menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, masalah itu tidak pernah wujud dan berharap kerajaan dapat menyelesaikan demi kepentingan rakyat.

Bagi Jumina Juhani 49, dari Temerloh Jaya berkata, dulu dia membayar RM1.60 untuk ke bandar Temerloh dengan menaiki bas, tetapi kini terpaksa bayar RM10 sehari menaiki teksi untuk ke sana.

No comments:

Post a Comment