Thursday, February 9, 2012

upgrade teluk cempedak

Teluk Chempedak dinaik taraf

KUANTAN 9 Feb. – Sebanyak RM3.67 juta diperuntukkan kerajaan bagi menaik taraf kemudahan di pantai Teluk Chempedak di sini untuk kemudahan pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff berkata, peruntukan itu diperoleh menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 dengan masing-masing berjumlah RM1.87 juta dan RM1.5 juta.
“Sehingga kini saya berpuas hati dengan kerja-kerja baik pulih yang dilakukan sejak tahun lalu terutama laluan pejalan kaki dari pantai menuju ke Teluk Tongkang.
“Laluan pejalan kaki yang dibina menggunakan plastik fiber itu dilihat kukuh dan selamat berbanding penggunaan jambatan kayu sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pantai berkenaan semalam.
Menurut Shafik, beliau berharap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang pantai dan laluan pejalan kaki selepas laluan itu siap sepenuhnya minggu depan.
“Banyak sampah sarap yang kelihatan di sepanjang laluan itu kerana ia masih dalam pembinaan. Justeru, saya berharap pihak MPK segera bertindak sebaik sahaja ia siap sepenuhnya.
“Ini berikutan Teluk Chempedak merupakan lokasi pilihan setiap pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” jelasnya.
Tambahnya, selain laluan pejalan kaki, tandas awam di pantai berkenaan turut dibangunkan semula dengan konsep hijau agar lebih mesra alam.
“Tandas awam yang memiliki 40 buah bilik termasuk bilik mandi bagi kemudahan pengunjung lelaki dan wanita itu dibina bercirikan mesra alam termasuk penjimatan elektrik dan air.
“Sebagai contoh, air yang digunakan untuk membasuh kaki dan tangan akan digunakan semula bagi menyiram pokok bunga.
“Malah, reka bentuknya yang unik seperti ruang-ruang udara dipraktikkan bagi mengelakkan penggunaan kipas atau penghawa dingin,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment