Thursday, February 23, 2012

papan tanda ke taman negara

Papan tanda rosak, tidak teratur ke Taman Negara


Papan tanda yang diletak tidak teratur dan hampir menyembah bumi di jalan menuju ke Taman Negara.


Saudara Pengarang,
SEKIRANYA anda pertama kali berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, pastikan anda seorang pemandu yang berhemah dan memberi perhatian sepenuhnya pada pemanduan anda.
Had laju pula dinasihatkan tidak melebihi 60 hingga 80 kilometer sejam (kmj) kerana keadaan jalan yang berlubang dan banyak selekoh bahaya yang boleh mengundang padah.
Baru-baru ini saya berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan untuk bercuti dan amat terkejut melihat keadaan jalan dan paling mengecewakan adalah papan tanda yang tidak teratur.
Banyak papan tanda di selekoh tajam yang rosak sehingga menyembah bumi dan ada juga yang menunjukkan arah ke kiri sedangkan selekoh ke kanan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) sepatutnya peka dengan masalah ini kerana saya difahamkan masalah tersebut telah lama berlarutan namun tidak ada kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Selain itu, terdapat juga beberapa selekoh tajam yang tidak mempunyai papan tanda amaran sedangkan pihak terbabit sepatutnya memasang papan tanda berkenaan sebaik jalan tersebut siap.
Baru-baru ini terdapat sebuah lori balak terbalik di satu selekoh yang agak tajam dan tidak mempunyai papan tanda amaran.
Saya rasa pihak yang terlibat harus memantau papan tanda yang ada di sepanjang Jalan Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan yang merupakan satu-satunya jalan darat untuk ke lokasi percutian rimba itu.
Semua papan tanda yang rosak harus diganti agar tidak ada pelancong yang kehilangan nyawa sebelum sempat mengecapi percutian bersama keluarga terutama dari luar negara.
CIKGU PENCEN
Beserah

No comments:

Post a Comment