Saturday, February 11, 2012

ganti jambatan

Peruntukan RM200,000 ganti jambatan kayu usang


PENDUDUK melalui jambatan usang yang menghubungkan Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Jeransung di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 11 Feb. - Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Jeransung dekat sini gembira apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi menggantikan jambatan kayu yang usang di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Norafidah Abd. Aziz, 17, berkata, tindakan kerajaan yang sudi menggantikan jambatan usang itu amat dinantikan oleh penduduk kampung Orang Asli berkenaan.
"Kami sangat gembira apabila mendapat tahu kerajaan meluluskan peruntukan itu kerana penduduk di sini sudah beberapa kali mengalami detik cemas melalui jambatan tersebut sehingga ada yang hampir terjatuh ke dalam sungai," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak dapat melupakan detik cemas bersama neneknya, Bidah Putih, 55, ketika dalam perjalanan ke kebun pisang mereka yang terletak di Kampung Tekas di situ baru-baru ini apabila hampir terjatuh ke dalam sungai.
"Sebaik sahaja menaiki jambatan berkenaan, secara tiba-tiba beberapa keping papan yang reput jatuh ke dalam sungai dan mujur saya sempat mengelak lubang tersebut," katanya.
Katanya, jambatan baru itu nanti akan memudahkan penduduk menjalani kehidupan harian terutama untuk ke pekan Kampung Jeransang dan kebun berhampiran.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, peruntukan yang disediakan untuk membaik pulih jambatan tersebut membuktikan kerajaan prihatin untuk membela nasib rakyat.
"Saya yakin semua penduduk di perkampungan Orang Asli Sungai Kiol sangat gembira mendengar berita ini kerana mereka tidak perlu lagi risau dengan keselamatan untuk ke kebun dan kampung seberang sungai," jelasnya.

No comments:

Post a Comment