Tuesday, February 28, 2012

kolej komuniti lipis

Kolej Komuniti tingkat kemahiran penduduk


Sebahagian belia dan penuntut yang mengambil kursus pengurusan pelancongan melawat sebuah gua di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 28 Feb. - Kewujudan Kolej Komuniti Lipis di sini merupakan landasan terbaik untuk siswazah menganggur, lepasan sekolah dan suri rumah mendapatkan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan Kolej Komuniti di seluruh negara dilihat memberi nilai tambah kepada usaha melahirkan modal insan yang memiliki pelbagai kemahiran.
"Kursus yang ditawarkan meliputi jangka pendek yang memudahkan penduduk dan belia menajamkan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka menceburi bidang keusahawanan," katanya di sini baru-baru ini
Menurut beliau, di Eropah dan Amerika Syarikat, penduduk mengambil kesempatan mengikuti kursus jangka pendek iaitu bidang perhotelan, pelancongan dan masakan yang digunakan untuk menambah pendapatan.
"Sewajarnya penduduk di daerah ini merebut peluang itu dengan mengikuti kursus di Kolej Komuniti dengan yuran serendah antara RM10 hingga RM20," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman meminta belia supaya memohon kursus pelancongan jangka pendek dalam bidang pengurusan pelancongan kerana dapat membantu menjana pembangunan pelancongan di Lipis.
"Bidang pengurusan termasuk pemandu pelancong masih kurang di kalangan belia di sini sedangkan bidang ini berkembang pesat sesuai dengan lokasi bandar Lipis yang kaya dengan warisan tinggalan penjajah dan keindahan alam sekitar," katanya.
Beliau menambah, berasaskan kemahiran pengurusan, belia yang terlatih dari Kolej Komuniti dapat membabitkan diri dengan perusahaan pelancongan dengan merebut peluang menguruskan pakej lawatan pelancong luar dan domestik ke Lipis.

No comments:

Post a Comment