Saturday, February 4, 2012

lynas

Polemik Lynas berterusan
Wartawan Sinar Harian
3 Februari 2012
Lynas
KUANTAN – Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 kesal dengan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) yang meluluskan lesen operasi sementara projek Lynas, di Gebeng walaupun masih banyak syarat yang belum dipenuhi.

Pengerusinya, Wong Tack berkata, lesen operasi sementara itu sebenarnya tidak perlu jika LPTA benar-benar yakin projek itu selamat.

“Jika mereka kata projek itu tidak merbahaya, mengapa perlu ada lesen operasi sementara.

“Mereka seolah-olah ingin menjalankan eksperimen terlebih dahulu bagi mengetahui projek ini sebenarnya selamat atau sebaliknya,” katanya pada sidang media semalam.

Katanya, beliau benar-benar kecewa kerana selepas tempoh setahun bertungkus-lumus membantah projek ini, pihak bertanggungjawab tetap meluluskan operasi.

“Kini, kami sudah sampai ke tahap merayu pada kontraktor, pembekal, perunding, arkitek dan semua syarikat yang berkaitan dengan projek ini untuk berhenti bekerjasama bagi menyelamatkan nyawa 700,000 penduduk Kuantan dan Kemaman.

“Saya berharap supaya masyarakat dapat membuka mata dan minda bagi menentukan yang terbaik untuk masa depan mereka,” katanya.

“Jika mereka enggan berhenti, saya rayu kepada penduduk supaya memboikot syarikat-syarikat ini,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya ‘berjanji’ akan meneruskan perjuangan menentang projek ini bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin.

“Kita tidak akan berhenti setakat ini sebaliknya akan terus berusaha untuk menjatuhkan kilang itu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Himpunan Hijau 2.0 menyeru rakyat Malaysia untuk hadir ke Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung pada 26 Februari ini di sini, bagi menyuarakan bantahan terhadap keputusan ini.

Dalam perkembangan lain, Stop Lynas Coalition turut mengadakan sidang media berkaitan bantahan terhadap isu yang sama.

Pengerusinya, Andansura Rabu berkata, beliau terkejut dengan keputusan LPTA walaupun kemudahan pelupusan tetap (PDF) masih belum diselesaikan.

“Salah satu syarat LPTA ialah pelan dan lokasi PDF mesti didedahkan dalam masa sepuluh bulan pengeluaran TOL.

“Mengapa pihak kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya tidak memaksa Lynas untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu sebelum memberikan kelulusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment