Thursday, February 23, 2012

air terjun bekelah

Keindahan Air Terjun Bekelah


Hutan Lipur Bekelah di Gambang sesuai dijadikan tempat bersantai dan berkelah.


AIR Terjun Bekelah yang terletak di Hutan Simpan Bekelah, Maran, Pahang cukup sesuai dijadikan tempat berkelah dan bersantai terutama kepada pengunjung yang datang bercuti ke negeri Tok Gajah ini.
Kawasan hutan lipur ini begitu popular dengan keindahan kolam mandi semula jadi hasil hakisan air terjun sejak ribuan tahun dahulu yang mana turut menjanjikan 1,001 cabaran bagi penggemar aktiviti lasak.
Keunikan Air Terjun Bekelah ialah mempunyai air terjun tujuh tingkat dengan ketinggian di antara tiga hingga 30 meter dengan suasana yang bersih, segar serta persekitarannya yang nyaman.
Malah aliran sungainya yang jernih pasti memikat hati setiap pengunjung. Pengunjung bagaimanapun perlu berhati-hati ketika mandi-manda kerana ada di kawasan-kawasan tertentu airnya sangat dalam.
Untuk ke air terjun tersebut, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri. Sepanjang perjalanan, pengunjung akan menikmati keindahan jeram dan beberapa siri air terjun yang pasti dapat memecah kesunyian.
Perjalanan ke puncak air terjun yang ketujuh agak mencabar kerana pengunjung harus melalui jalan berbatu yang curam dan licin. Namun, sejurus sampai ke puncak, perasaan penat dan lelah pasti hilang tatkala melihat pemandangan air terjunnya yang indah dan cantik.
Berhampirannya terdapat hamparan batu yang besar untuk tujuan berehat atau berkelah sambil menikmati keindahan air terjun. Jika ingin mandi manda, pengunjung dinasihatkan memakai jaket keselamatan kerana paras air di situ sangat dalam.
Bagi kaki pancing pula, ikan tengas yang terdapat di kawasan itu boleh dipancing dengan menggunakan umpan buah kelapa sawit yang direndam semalaman. Hasil yang diperoleh dapat memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada si pemancing.

No comments:

Post a Comment