Friday, February 24, 2012

hijau

Hijau 2.0: Kebenaran bersyarat


Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 sedang dinaik taraf sebagai antara lokasi untuk Sukma Julai 2012 menyebabkan Perhimpunan Hijau 2.0 esok akan diadakan di Padang MPK 4.


KUANTAN 24 Feb. - Polis hari ini memberi kebenaran kepada penganjur Himpunan Hijau 2.0 untuk menganjurkan himpunan itu di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, Ahad ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, bagaimanapun terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi pihak penganjur, antaranya, waktu perhimpunan ditetapkan bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Selain itu, peserta perhimpunan tersebut hanya boleh bercakap mengenai Himpunan Hijau sahaja serta tidak boleh membawa senjata dan benda tajam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada perjumpaan hari ini yang turut disertai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh, beliau berkata, penganjur bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk bandar ini.
Mengenai perubahan tempat ke Padang MPK 4, Mohd. Jasmani berkata, Padang MPK 1 tidak dapat digunakan ekoran kerja-kerja pengubahsuaian padang berkenaan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada Julai ini.
"Polis mencadangkan tempat penganjuran diubah ke Padang MPK 4, Kemunting dan ia dipersetujui oleh MPK serta penganjur," katanya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, kebenaran menganjurkan Himpunan Hijau 2.0 itu bukan satu permit yang dikeluarkan oleh pihak polis tetapi kebenaran mengikut Akta Himpunan Aman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata, proses menaik taraf Padang MPK 1 kini telah dijalankan sejak semalam dan dijangka siap sebelum Jun ini.
"Pihak MPK telah melantik kontraktor sejak 13 Februari lalu dan kerja-kerja menaik taraf telah dimulakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, kerja-kerja menaik taraf itu langsung tiada kaitan dengan Himpunan Hijau 2.0 kerana ia telah lama dirancang.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di padang tersebut mendapati kerja-kerja menaik taraf sedang giat dijalankan.
Beberapa pekerja binaan dilihat memasang penghadang di sekeliling padang untuk menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment