Monday, February 20, 2012

teluk chempedak

Wajah baru Teluk Chempedak


Pelantar pejalan kaki yang memudahkan pengunjung terutama mereka yang membawa anak-anak kecil bersiar.


KUANTAN 20 Feb. - Keindahan Pantai Teluk Chempedak di sini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana umum sedia maklum mengenai pantainya yang cukup mempesonakan.
Selain menjadi destinasi wajib kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke daerah ini, Teluk Chempedak juga merupakan kawasan riadah bagi penduduk di sini.
Justeru, kerajaan negeri mengambil inisiatif menaik taraf kawasan peranginan itu melibatkan peruntukan RM3.67 juta bermula tahun lalu bagi kemudahan dan keselesaan para pengunjung.
Antara prasarana yang diberi keutamaan adalah menaik taraf laluan pejalan kaki iaitu kira-kira satu kilometer ke Teluk Tongkang.
Ini kerana Teluk Tongkang merupakan lokasi yang cukup sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan air seperti berkenu dan menunggang jet ski.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hal Ehwal Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff, laluan pejalan kaki yang dibina menggunakan plastik fiber itu dilihat lebih kukuh dan selamat berbanding penggunaan jambatan kayu sebelum ini.
"Laluan yang bakal siap sepenuhnya Mac ini dijangka lebih mesra alam dan mempunyai ketahanan kira-kira 10 tahun. Berbanding jambatan kayu sebelum ini, ia mudah reput dan patah serta kadangkala menjadi mangsa vandalisme," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambahnya, selain laluan pejalan kaki, tandas awam turut dinaik taraf dengan berkonsepkan teknologi hijau.
"Tandas awam yang memiliki 40 bilik termasuk bilik mandi bagi kemudahan pengunjung lelaki dan wanita itu dibina bercirikan mesra alam termasuk dapat menjimatkan penggunaan elektrik dan air.
"Sebagai contoh, air yang digunakan untuk membasuh kaki dan tangan akan digunakan semula bagi menyiram pokok bunga. Malah, reka bentuknya yang unik seperti kewujudan ruang-ruang udara dipraktikkan bagi mengelakkan penggunaan kipas atau pendingin hawa," jelasnya.
Sebagai memenuhi kehendak pengunjung, Teluk Chempedak turut dilengkapi dengan sebuah dataran, dipasang lampu-lampu tambahan dan dihiasi dengan landskap menarik.
Menariknya, pada sebelah malam kawasan dataran itu akan menjadi tumpuan umum dengan pelbagai persembahan seperti silap mata dan tarian shuffle oleh individu atau kumpulan secara suka rela.
Malah, beberapa gerai menjual cenderamata dan lukisan turut dibuka bagi memberi peluang kepada pengunjung membeli cenderamata untuk kenang-kenangan.
Seorang pelancong dari Shenzen, China, Nicol Xie Hui, 30, berkata, pilihannya untuk ke Teluk Chempedak adalah tepat kerana panorama dan keindahan alam semula jadi pantai itu begitu mendamaikan.
"Apabila suami menyatakan mahu bercuti ke Malaysia, saya segera melayari Internet dan memperoleh maklumat bahawa Teluk Chempedak merupakan destinasi yang menarik untuk dikunjungi.
"Sebaik sahaja sampai ke sini, saya rasa gembira kerana tempat ini sememangnya cantik dan menghiburkan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment