Saturday, February 4, 2012

banjir kilat di bandar raub

Bandar Raub dilanda banjir kilat lagi
Wartawan Sinar Harian
5 Februari 2012
Bandar Raub dilanda banjir kilat lagi
RAUB – Bandar Raub dilanda banjir kilat buat kali kedua dalam tempoh lebih kurang dua bulan selepas berlaku hujan lebat selama lebih satu jam bermula lebih kurang jam 4.30 petang kelmarin.

Seorang penduduk, Muhammad Zulkifly Mat Yatim, 30-an, berkata, banjir kilat kali ini disertai lumpur dan berlaku pada sebelah petang.
Menurutnya, sebelum ini, kejadian serupa berlaku pada sebelah malam sehingga mengakibatkan aliran trafik terjejas selama lebih dua jam.

“Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada projek pembinaan di kawasan bukit pinggiran bandar ini yang menjadikan kawasan tadahan air terjejas dan air hujan terus mengalir deras tanpa halangan.

“Walaupun tidak terlalu teruk dan hanya membabitkan kawasan sekitar pasar, hentian teksi dan sepanjang Jalan Dato’ Abdullah, tetapi tindakan pencegahan perlu dilakukan segera untuk mengelak ia berulang,” katanya.

Muhammad Zulkifly berkata, kejadian seperti itu bukan sahaja mendatangkan kesulitan kepada pengguna jalan raya yang terpaksa meredah air berlumpur, tetapi turut menjejaskan aktiviti perniagaan setempat.

Katanya, sekiranya paras air naik mendadak di tengah kawasan bandar, ia menyebabkan kenderaan tidak dapat bergerak hingga mengakibatkan aliran trafik lumpuh.

“Peniaga juga terpaksa menanggung kerugian apabila air berlumpur memasuki kawasan premis dan menenggelamkan sebahagian barangan yang tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera termasuk menyediakan sistem perparitan yang bersesuaian dengan pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.
Keadaan banjir kilat berserta aliran lumpur melanda bandar Raub menyebabkan suasana panik penduduk.

No comments:

Post a Comment