Thursday, February 23, 2012

penerima br1m

191,122 rakyat layak terima BR1M

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 23 Feb. – Seramai 191,122 rakyat negeri ini layak menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM95.561 juta.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, penyerahan wang bantuan tersebut sedang dilaksanakan mengikut empat fasa penyerahan bermula Januari lalu.

Katanya, fasa pertama telah dijalankan manakala fasa kedua, ketiga dan keempat pula sedang dilaksanakan secara berperingkat sehingga 15 April ini.

“Fasa kedua yang paling banyak iaitu sebanyak 91,580 orang melibatkan RM45.79 juta. Fasa keempat pula paling sedikit, iaitu 11,840 orang membabitkan RM7.42 juta dan akan diserahkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat SUK Pahang dekat Wisma Sri Pahang di sini semalam.

Muhammad Safian berkata, fasa pertama melibatkan jumlah bantuan bernilai RM10.74 juta yang membabitkan 21,480 orang manakala fasa ketiga pula RM33.111 juta yang melibatkan 66,222 orang.

Katanya lagi, sebanyak 240,324 permohonan telah dibuat oleh rakyat negeri ini dan setelah diteliti, hanya 191,122 orang layak menerima bantuan tersebut.

“Bagi yang tidak menerima bantuan BR1M dan yang belum memohon, mereka boleh membuat rayuan sebelum 15 April ini bagi membolehkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyemak semula.

“Setakat ini, hanya lima hingga 10 peratus rakyat di negeri ini yang layak untuk menerima bantuan BR1M tidak memohon. Oleh itu, saya harap mereka pohon secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati rungutan orang ramai terhadap pelaksanaan penyerahan BR1M di negeri itu juga semakin berkurangan kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan mereka.

No comments:

Post a Comment