Saturday, February 4, 2012

isu air

PR serah memorandum isu air
Wartawan Sinar Harian
1 Februari 2012
Penyelaras PR Parlimen Bera, Mazlan Aliman
BERA – Seramai 13 wakil dari enam perkampungan Orang Asli bersama pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Bera menyerahkan memorandum kepada Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), semalam.

Penyelaras PR Parlimen Bera, Mazlan Aliman berkata, memorandum itu diserahkan pada jam 12 tengah hari dan perbincangan hampir satu jam dengan kakitangan Suhakam mengenai isu kemusnahan sistem tiub telaga air di enam kampung terbabit.

Menurutnya, antara kandungan memorandum itu ialah penduduk melahirkan kekecewaan mereka apabila sistem yang sudah siap sepenuhnya dimusnahkan pihak tertentu walaupun ia tiada kaitan dengan penduduk.

“Kita mahu hak asasi penduduk Orang Asli dibela. Persengketaan antara kontraktor utama dan subkontraktor seharusnya diselesaikan antara mereka, bukan membabitkan penduduk.

“Ada beberapa kampung menerima bekalan air bersih lebih setahun, tetapi ada juga baru menerimanya terus ke rumah tidak sampai seminggu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, selain itu penduduk turut mempersoalkan pemantauan dilakukan kementerian bertanggungjawab terhadap projek tersebut.

Menurutnya, projek itu bukan sahaja dilaksanakan di daerah ni, tetapi juga di beberapa daerah lain membabitkan keseluruhan 80 kampung.

Katanya, hasil pemantauan di beberapa kampung turut mendapati masih ada kawasan belum menikmati bekalan air bersih walaupun projek itu sudah siap sepenuhnya.

“Kes terbabit hanya berlaku di daerah ini. Kampung lain tidak menghadapi masalah seperti ini, tetapi penduduk berhadapan masalah lain iaitu masih tidak menerima bekalan air bersih terus ke rumah sejak projek itu siap.

“Kami mempersoalkan pemantauan dilakukan kakitangan bertanggungjawab untuk memas-tikan projek ini lancar. Di samping itu, kami mendesak kementerian terbabit mengisytiharkan status projek itu sama ada ia dilakukan secara tender terbuka atau rundingan terus,” katanya.

Beliau berkata, ia berikutan projek itu berkemungkinan dilakukan secara rundingan terus menyebabkan tiada dokumen boleh dijadikan bukti subkontraktor mengenai isu pembayaran terbabit.

Katanya, walaupun marah dengan tindakan subkontraktor yang memusnahkan sistem itu, tetapi mereka turut bersimpati kerana difahamkan pihak berkenaan tidak menerima bayaran walaupun membuat tuntutan selama 18 bulan daripada kontraktor utama.

“Ia berkaitan hak asasi penduduk Orang Asli yang dizalimi, dikhianati dan menjadi mangsa keadaan.

“Hal ini jelas menunjukkan kegagalan kementerian terbabit, selain menimbulkan tanda tanya mengenai tanggungjawab wakil rakyat berhubung isu ini,” katanya.

Difahamkan, isu itu juga akan dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Temerloh dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment