Saturday, February 11, 2012

pasar lama tak selamat

Keadaan pasar tidak selamat
ERMA YUSNIDA JUSOH
12 Februari 2012
pasar_rosak
KUANTAN - Setahun lalu, masalah sama pernah diadukan kepada pihak bertanggungjawab namun kini ia berulang kembali menyebabkan peniaga buntu dalam menghadapi situasi tersebut.

Masalah penutup longkang yang kerap kali dicuri pihak tidak bertanggungjawab mengundang pelbagai reaksi daripada peniaga di Pasar Borong Kemunting, di sini.

Bukan satu atau dua tetapi boleh dikatakan 70 peratus penutup longkang yang diletakkan di situ dicuri pihak terbabit.


Pengsan jatuh longkang

Peniaga, Jimmy Wong, 61, berkata, setahun lalu, perkara itu sudah diadukan kepada pihak berkaitan namun tindakan yang diambil tidak menyeluruh menyebabkan masalah tersebut masih belum selesai.

Menurutnya, kes kecurian penutup longkang di pasar tersebut sudah lama berlaku menyebabkan peniaga di situ sudah naik bingung.

“Kegiatan mencuri penutup longkang itu mengundang bahaya kepada orang ramai ekoran keadaan longkang yang terdedah menyebabkan mereka berisiko terjatuh ke ­dalam longkang.

“Lebih menyedihkan apabila berlaku insiden di mana seorang pekerja terjatuh ke dalam longkang itu, kelmarin menyebabkan mangsa pengsan,” katanya ketika ditemui pada Program Seminggu Sejalan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong bagi meninjau masalah di Pasar Borong Kemunting.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan, Keindahan Bandar dan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Ngoh Tian Meng.


Infrastruktur kurang memuaskan

Seorang lagi peniaga, Hasneliana Jusman, 35, yang sudah 15 tahun berniaga di situ berkata, infrastruktur di pasar tersebut sudah banyak yang rosak sekali gus mengundang pelbagai kesulitan kepada orang ramai.

Katanya, masalah penutup longkang, kerosakan tandas dan isu bayaran letak kereta antara dilema yang dihadapi mereka.

“Bayaran tempat letak kenderaan yang dikenakan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga termasuk pelanggan yang sering mengadu kepada kami.

“Bukan itu sahaja, malah kawasan letak kenderaan bagi lori yang keluar masuk juga tidak mencukupi malah mereka terpaksa bersaing ­untuk mendapat tempat,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa perlu memastikan tindakan yang diambil adalah berterusan dan memberi perhatian terhadap setiap aduan yang diterima.


MPK sedia peruntukan sebanyak RM30,000

Sementara itu, Hong Seong berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga di pasar borong tersebut mengenai masalah longkang dan infrastruktur yang kurang memuaskan.

Katanya, masalah yang sudah berlarutan setahun lalu itu pernah diadukan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, hanya sebahagian penutup longkang diganti namun masalah kecurian masih terus berlaku.

“MPK sudah bersetuju untuk menggantikan penutup longkang terbabit melalui peruntukan segera berjumlah RM30,000 dengan ­penutup yang lebih praktikal bagi ­mengelakkan kecurian.

“Selain itu, bilangan lampu jalan juga akan ditambah bagi memudahkan peniaga berurusan di awal pagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Hong Seong berharap insiden di mana pekerja terjatuh ke dalam longkang tidak berulang lagi selepas ini dan tindakan akan diambil selewat-lewatnya minggu depan.

Hong Seong turut mengingatkan peniaga dan pekerja di pasar borong tersebut supaya memberi kerjasama dalam aspek penjagaan kebersihan di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment