Saturday, February 11, 2012

dengar pandangan

Ambil kira pandangan awam

KUANTAN 11 Feb. - MCA Pahang meminta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengambil kira pandangan dan cadangan orang ramai berkaitan pendedahan dokumen Lynas Malaysia Sdn. Bhd. pada awal Januari lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, AELB perlu mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat bagi membuktikan ketelusan syarikat yang menjalankan pemprosesan nadir bumi di kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

"Kita mahu tahu apa tindakan yang bakal diambil selepas AELB menerima pandangan dan cadangan daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco MCA Pahang di pejabat MCA Bahagian Kuantan, di sini semalam.

Tiong Lai berkata, MCA Pahang berpendirian tegas terhadap keprihatinan dan penjagaan isu kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas.

Tambahnya, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Komuniti dengan kerjasama Persatuan Cina Kuantan untuk memantau perkembangan semasa tentang projek itu.

"Jawatankuasa ini juga akan memastikan setiap keraguan terhadap projek Lynas akan diperjelaskan," katanya.

Menurutnya, agensi itu juga seharusnya memberikan penerangan menyeluruh tentang lima syarat yang dikenakan terhadap Lynas supaya orang awam memahami serta tiada pertikaian tentang perkara tersebut.

"Sebelum ini, mereka sedia maklum tentang lima syarat itu. Pun begitu, ia perlu diperjelaskan secara mendalam supaya orang ramai puas hati tentangnya.

"Justeru itu, MCA Pahang mendesak pihak berkuasa termasuk AELB memantau secara teliti projek berkenaan bagi memastikan mereka mengikut syarat yang telah ditetapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment