Saturday, February 18, 2012

malang

Budak ditimpa malang berganda
Wartawan Sinar Harian
18 Februari 2012
Budak ditimpa malang berganda
TEMERLOH - Seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut apabila terjatuh dalam pembetung sedalam kira-kira enam meter berdekatan Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB), dekat sini, pagi semalam.

Sebelum itu, kanak-kanak tersebut bersama ayah dan dua kakaknya terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Bapanya, Abdul Hamid Hashim, 40, berkata, kebiasaannya dia akan menghantar dua anak ­perempuannya terlebih dahulu ke sekolah menengah dan kemudian menghantar anak ­lelakinya ke sekolah kebangsaan.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia terpaksa menghantar ketiga-tiga anaknya itu sekali gus menaiki motosikal kerana hujan dan tidak mahu berulang-alik.

“Saya juga hairan mengapa pagi itu saya mengikut jalan berdekatan Kuarters TNB itu sedangkan saya tahu jalan itu bahaya. Setiap hari saya hantar anak-anak saya ikut jalan depan mahkamah.

“Namun, saya bersyukur kerana kami selamat daripada kemalangan tersebut. Lebih mengejutkan, anak lelaki saya, Amirul Hafiz, 10, terjatuh dalam pembetung itu selepas kemalangan itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya dekat Perkampungan Baru Cina, di sini.

Cedera di lutut, tangan, pipi

Abdul Hamid berkata, dia tidak ­sedar bagaimana Amirul Hafiz ter­jatuh kerana selepas terlibat dalam kemalangan, orang ramai datang ­membantu dan ketika itu saya diberitahu bahawa anak saya itu duduk di tepi pembetung itu.

Menurutnya, saya ketika itu ­masih di tengah jalan dan tidak berdaya untuk bangun kerana ­mengalami kecederaan di lutut dan kaki.
“Ketika keluar simpang, saya ­tidak tahu siapa yang perlu keluar atau jalan dahulu kerana tiada papan ­tanda. Kawasan itu memang agak bahaya. Dua anak perempuan saya iaitu Ros Atikah, 14, dan Ros Amira, 13, tidak mengalami kecederaan ­selepas diseret pacuan empat roda tersebut,” katanya.

Amirul Hafiz memberitahu, selepas terjatuh daripada motosikal ­dalam kemalangan itu, dia dibantu orang ramai dan mereka meletakkannya di tepi pembetung itu.

Menurutnya, dia duduk di ­pembetung itu dan kemudian dia berdiri untuk melihat keadaan ayah dan dua kakaknya.

“Saya memang tidak perasan besi penutup pembetung itu berlubang kerana keadaan pada masa itu masih gelap. Saya berjalan di tengah pembetung itu kemudian terus terjatuh.

“Saya jatuh dalam keadaan seperti merangkak menyebabkan lutut saya luka. Saya memang takut pada ketika itu dan keadaan sangat men­cemaskan. Saya luka di lutut, tangan dan pipi,” katanya.

Amirul Hafiz terpaksa dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Temerloh.

Sinar Harian diberitahu, jika ­hujan lebat, pembetung itu dipenuhi air dan Amirul Hafiz bernasib baik kerana tidak dibawa arus deras ketika jatuh di dalam pembetung itu.

Pihak berkaitan diminta segera membaiki lubang tersebut kerana bimbang berlakunya kes yang sama di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment