Thursday, February 23, 2012

haiwan terancam

Kematian haiwan dilindungi akibat habitat terancam

Saudara Pengarang,
SAYA ingin menarik perhatian pihak tertentu setelah terbaca kejadian kematian seekor beruang matahari di ladang sawit Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut yang tersiar di media baru-baru ini, terdetik rasa kasihan dan persoalan mengenai beberapa perkara.

Bangkai haiwan liar berkenaan ditemui oleh beberapa orang peneroka yang kebetulan masuk ke ladang untuk mengait dan memunggah sawit.

Pertamanya, saya berasa kasihan melihat binatang liar berkenaan yang tidak berdosa mati dalam keadaan kelaparan setelah habitat mereka terancam.

Sepatutnya haiwan berkenaan berada di habitat masing-masing dengan aman dan bebas mencari makanan tanpa gangguan.

Saya difahamkan oleh penduduk Gugusan Felda Kota Gelanggi dan Lepar terdapat hutan yang kini sudah pun dinoda dengan kegiatan penebangan balak komersial.

Pokok pangkalnya, mudah sahaja difahami. Jika sekiranya tidak wujud penebangan pokok secara berleluasa sudah tentu habitat beruang berkenaan dan fauna lain masih terkawal dan ia dapat bebas bergerak mencari makanan.

Saya mengucapkan syabas kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana mereka sudah melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan profesional menangani setiap aspek pemuliharaan haiwan liar serta habitat masing-masing.

Tetapi, seandainya penebangan hutan tidak terkawal dan mengganggu habitat haiwan berkenaan, peraturan dan penguatkuasaan oleh mana-mana organisasi sekali pun tidak signifikan.

Saya pasti penyiaran berita penemuan bangkai beruang matahari dan pemusnahan habitat haiwan di negara ini ditatapi oleh jutaan pencinta alam sekitar dan haiwan di seluruh dunia menerusi laman web.

Insiden berkenan sekali gus menimbulkan persepsi yang kurang enak bagaimana sesetengah pihak begitu rakus menggondol hutan untuk pembalakan yang lambat laun mengundang gangguan ekosistem dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Mungkin kematian beruang berkenaan kerana ketiadaan makanan, tetapi falsafah mencintai alam sekitar, flora fauna dan bumi ini sudah lengkap dijelaskan dalam al-Quran dan mana-mana agama sekali pun tidak bersetuju pemusnahan itu berlaku.

PENCINTA BUANA

Lepar Utara, Pahang

No comments:

Post a Comment