Saturday, February 11, 2012

samun hari siang

Dua penjenayah hati kering
Wartawan Sinar Harian
11 Februari 2012
Dua penjenayah hati kering
MENTAKAB – Dua penjenayah berhati kering sanggup memecah masuk tiga rumah dalam tempoh tiga tengah hari, kelmarin.

Dua lelaki berkenaan yang menaiki sebuah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) jenis Honda CRV dipercayai menggunakan modus operandi meninjau rumah yang pemiliknya keluar bekerja sebelum melakukan kegiatan jenayah tersebut.

Dalam kejadian kelmarin, tiga rumah masing-masing satu di Taman perumahan Bendera Intan, Taman Rimba dan Sempalit di sini dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM20,000.

Dalam kejadian yang berlaku di Taman Rimba jam 12 tengah hari kelmarin, seorang pengusaha bengkel kerugian lebih RM20,000 apabila barang kemas dan wang tunai dilarikan selepas penjenayah terbabit memecah masuk kediaman ketika mangsa berada di bengkelnya.
Lai Teck Chee berkata, kejadian berlaku semasa dia sedang bekerja dan kebetulan isterinya Au Kim Fong juga keluar. Isterinya menyedari kejadian apabila pulang kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, dia kerugian lebih RM20,000 apabila barang kemas dan wang tunai dalam tabung besar dilarikan penjenayah terbabit.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Mentakab jam 3 petang,” katanya.
Sementara itu, dua lagi rumah penduduk di Taman Sempalit dan Taman Bendera Intan dipecah masuk dipercayai dilakukan dua penjenayah sama.

Sejam kemudian seorang guru dari Taman Sempalit kerugian lebih RM5,000 apabila barangan berharga dan wang tunai dilarikan penjenayah.

Sementara di Taman Bendera Intan sepasang suami isteri bangsa Cina kehilangan wang tunai RM4,000 dan televisyen juga dipercayai dilakukan kumpulan sama kira-kira jam 2 petang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dae­rah (IPD) Temerloh Deputi Superintendan R Sundra­lin­gam mengesahkan kejadian dan pihaknya menerima laporan polis dari salah seorang mangsa.

Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian melaporkan terus ke balai polis berhampiran.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong yang melawat tempat kejadian semalam menggesa penduduk meningkatkan keselamatan selain lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Menurutnya, penjenayah akan mengambil kesempatan apabila penduduk hanya mementingkan diri sendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat lain.

No comments:

Post a Comment