Friday, February 3, 2012

ladang kontrak

310 petani sertai Ladang Kontrak

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 3 Feb. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah 310 lagi bilangan peserta yang menyertai Ladang Kontrak melibatkan keluasan 559 hektar di seluruh Pahang pada tahun ini.

Pengarah Kanan Ladang Kontrak FAMA, Ahadiah Mohd. Khairi berkata, pada tahun lalu pihaknya menyasarkan 633 peserta tetapi 608 orang sahaja menyertai program tersebut melibatkan keluasan tanah 1,341 hektar.

Menurutnya, sasaran itu dibuat bagi membolehkan golongan terbabit meningkatkan hasil pertanian seterusnya menjual kepada FAMA untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Dengan sasaran itu, hasil pertanian pada tahun ini dijangka dikeluarkan sebanyak 20,992 tan metrik dengan setiap peserta terbabit akan memperoleh pendapatan kasar sekitar RM3,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjanjian jual beli antara FAMA dan peserta Ladang Kontrak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Ular di sini semalam.

Ahadiah berkata, kebanyakan peserta yang menyertai program itu mengeluarkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Jelasnya, Pahang merupakan pengeluar nangka pertama di negara ini apabila ramai peserta di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh serta di Pahang Barat menyertai program itu.

Katanya, kebanyakan peserta menghantar hasil masing-masing kepada FAMA untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Ada juga peserta yang menjualnya sendiri dan secara langsung memberi pendapatan tambahan kepada mereka," katanya.

Beliau memberitahu, pengenalan program itu untuk membolehkan peserta terlibat menjual hasil tanaman sendiri di pasar tani tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

Selain itu katanya, mereka yang menyertainya akan mendapat bimbingan percuma dari jabatan dan agensi pertanian terbabit serta pembiayaan kewangan menerusi AgroBank sehingga RM50,000.

No comments:

Post a Comment