Saturday, February 11, 2012

orang melayu pemurah

Orang kita terlalu pemurah
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Orang kita terlalu pemurah
KUANTAN – Murahnya duit kita. Akibat itu, ada golongan yang mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai anak yatim, ibu tunggal, atau lebih berani ada yang sanggup jadi cacat semata-mata untuk meraih simpati orang ramai bagi mendapatkan derma.

Atas dasar itu, Sinar Harian cuba menyamar sebagai pengutip derma un­tuk dana rumah anak yatim bagi melihat ‘ketulusan hati’ masyarakat yang sudi menderma kepada insan yang tidak diketahui latar belakangnya.

Tinjauan kami di beberapa pasar raya sekitar Kuantan mendapati ada sesete­ngah pengunjung yang tidak mengendah­kan pengutip derma dan ada juga yang sekadar menghulurkan derma tanpa bertanya sebarang soalan.

Dengan kerjasama pasar raya Terus Maju Batu 6, Jalan Gambang, penyamaran kami hampir satu jam berjaya menarik perhatian pengunjung prihatin yang menghulurkan derma.

Penderma 1

Lebih kurang 5 minit memulakan pe­nya­maran, penulis menghampiri seorang wanita dan memberi salam sebelum me­maklumkan penulis ingin meminta sum­bangan derma untuk rumah anak yatim.

Salam penulis disam­but wanita berkenaan dan tanpa banyak soal, dia menyeluk beg tangan yang dibawanya sebelum mengeluarkan wang se­banyak RM6 serta me­masukkan dalam tabung yang dipegang penulis.

Sejurus itu, penulis terus mem­per­ke­nalkan diri sebagai wartawan Sinar Harian dan menjelaskan tujuan penyamaran serta mendapatkan komen mengenai isu peminta derma ini.

Halimatuzzahrah Hassan, 56, berkata, laporan akhbar beberapa tahun lalu mengenai sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai pengutip derma menjadikan dia kini lebih berhati-hati ketika ingin menghulurkan derma.

Katanya, sebelum itu, dia antara golo­ngan yang ‘mudah kasihan’ apabila melihat individu menghulurkan tangan meminta derma.

“Tidak dinafikan, dulu saya memang suka memberi derma kepada sesiapa sahaja serta tidak pernah bertanya tentang latar belakang peminta derma.

“Apa yang berada di dalam fikiran saya hanya perasaan kasihan melihat mereka yang terpaksa ‘meminta’ untuk men­dapat­kan sesuap nasi sedangkan kadangkala mereka lebih kaya dari kita,” katanya.

Tambahnya lagi, ada juga antara mereka yang sanggup mengaku anak yatim atau ibu tunggal semata-mata untuk menagih duit orang lain.

“Saya berniaga di pasar malam, memang banyak golongan ini duduk di tepigerai sambil menghulurkan tangan. Ada juga yang sanggup mengaku baru memeluk Islam untuk mendapatkan ihsan orang ramai,” kata­nya.

Sebelum beredar penu­lis me­ngem­balikan wang sumbangannya seba­nyak RM6 itu kepada Hali­ma­tuzzahrah dan wanita itu tetap meng­hulurkan RM1 untuk tabung rumah anak yatim seperti yang dimaklumkan penulis.

“Derma ikhlas dari kakak,” katanya ringkas sebelum berlalu.

Penderma 2

Selang 20 minit kemudian, penulis yang masih berlegar-legar depan pasaraya itu terlihat kelibat seorang lelaki pertengahan usia berjalan menuju ke pintu masuk premis itu.

Sekali lagi penulis memulakan lakonan dengan membuat riak muka yang mengharapkan belas kasihan sebelum menghampiri lelaki berkenaan. Seperti biasa, penulis memulakan sapaan dengan memberi salam dan mengukirkan senyuman ‘kasihan’ kepada lelaki itu sebelum menunjukkan tabung yang dipegang serta mengharapkan dia menghulurkan sumbangan ikhlas.

Tanpa bertanyakan sebarang soalan atau menyelidik latar belakang penulis, lelaki budiman itu terus mengambil wang dari poket baju kemeja yang dipakainya dan memasukkan ke dalam tabung yang dipegang penulis.

Bagi Nordin Mat Husin, 38, 90 peratus pengutip derma yang menghampirinya tidak akan kecewa kerana dia biasanya akan menghulurkan wang walaupun sedikit.

“Mungkin kerana sudah biasa, jadi sesiapa yang datang memang akan diberikan wang biarpun hanya RM1. Bagi saya, niat menderma itu ikhlas. Tipu atau betul, hanya peminta derma itu sahaja yang tahu. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” katanya.

Katanya, dia mengakui kesilapan kerana tidak pernah bertanya latar belakang peminta derma.

“Saya memang silap. Sepatutnya saya perlu tanya sekurang-kurangnya mereka dari mana supaya saya tahu ke mana aliran derma yang telah saya beri itu.

“Sikap tidak ambil peduli ini akan menjadikan ‘pengutip derma haram’ semakin bermaharajalela. Akhirnya, kita juga yang tertipu,” katanya.

Seperti wanita tadi, Nordin tetap ‘menghalalkan’ sumbangan derma yang dia masukkan ke dalam tabung setelah mengetahui bahawa wang tersebut akan diserahkan juga penulis kepada rumah anak yatim

Sepanjang sejam jam berada di pasar raya itu, kami turut menerima derma dari pelajar kolej dan universiti.

Penderma 3

Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Mohd Azhar Ridhwan, 18, berkata, biasanya dia akan menghulurkan derma sekiranya mempunyai duit lebih.

“Saya biasa jumpa dengan pengutip derma di kedai makan, pasar raya atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang awam.
“Kadangkala kasihan juga melihat mereka. Walaupun di akhbar dan televisyen sering menghebahkan tentang sindiket pengutip derma, namun susah untuk saya buang perasaan simpati itu,” katanya.

Katanya, sebagai pelajar dia juga tidak mempunyai banyak wang, namun tetap menghulurkan bantuan sekiranya termampu.

Kesemua sumbangan derma itu berjumlah RM27.20 dan Sinar Harian telah menyerahkan wang derma tersebut kepada Rumah Baitul Husna, Bukit Sekilau.

No comments:

Post a Comment