Thursday, March 29, 2012

bantu orang asli

Bantu Orang Asli ubah kehidupan


Belia orang Asli yang terlibat dalam projek penternakan biri-biri Skim Agropolitan memberi makanan kepada biri-biri Dorper di Runchang, Pekan, Pahang. - UTUSAN/Mahathir Ali


PEKAN 28 Mac - Projek agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Matlamatnya adalah untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat miskin tegar di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Melalui aktiviti-aktiviti ekonomi yang dilaksanakan, para peserta projek dijangka mampu menjana pendapatan tetap di antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.
Salah satu projek Agropolitan yang kini sedang dilaksanakan ialah projek pembiakan biri-biri Dorper di Pusat Agropolitan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang di Pekan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Ishak Muhammad berkata, projek pembiakan biri-biri Dorper itu bertujuan membantu masyarakat Orang Asli untuk lebih berdaya saing, membolehkan mereka mempunyai pekerjaan tetap dan memperoleh pendapatan lebih baik.
Selain itu, katanya, projek tersebut juga bertujuan menjadikan Pekan sebagai lokasi pembiakan biri-biri Dorper dan menjadi hab pembiakan terbesar di Asia dengan populasi 25,000 biri-biri menjelang akhir 2015.
"Bertempat di Pusat Agropolitan RPS Runchang, hab pembiakan biri-biri Dorper itu nanti bakal menjana aktiviti-aktiviti berkaitan seperti pemprosesan daging, baja organik dan barangan kulit.
"Kini terdapat 95 unit pengeluaran haiwan (APUs) bagi biri-biri Dorper untuk menampung jumlah keseluruhan ternakan di bawah projek Agropolitan Pekan.
"Para peserta iaitu Orang Asli di kawasan ini (RPS Runchang) dijangka menjana pendapatan tambahan antara RM750 hingga RM1,200 sebulan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sijil projek Agropolitan ECER dan penyerahan biri-biri Dorper kepada 72 Orang Asli di Pusat Agropolitan RPS Runchang di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, seramai 72 lagi Orang Asli menyertai skim Agropolitan di bawah ECER di Runchang itu susulan tambahan 1,800 biri-biri Dorper dari Australia, menjadikan kini 102 peserta terlibat berbanding 30 orang sebelumnya.
Sehingga kini, projek Agropolitan di Runchang menunjukkan kemajuan yang baik dan kumpulan pertama projek tersebut telah menerima insentif serta bonus hasil daripada lelongan biri-biri tersebut.
Pada tahun pertama, para peserta di kalangan keluarga berpendapatan rendah dan keluarga Orang Asli yang terlibat dalam projek di Runchang itu telah berjaya memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM750 sebulan.
Daripada lelongan pertama biri-biri Dorper yang berlangsung pada bulan Ogos 2010, jumlah jualan mencecah RM265,550 dan setiap peserta telah menerima insentif bonus tambahan sebanyak RM500.

No comments:

Post a Comment