Friday, March 2, 2012

hampir kena tipu

Nyaris jadi mangsa ‘Aisha’
Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2012
TEMERLOH – Seorang pemuda di Kampung Paya Pulai di sini mendakwa hampir menjadi mangsa tipu individu sama seperti laporan muka depan Sinar Harian bertajuk ‘Jerat Cinta Aisha’ semalam.

Rohaizat Ismail, 30, berkata, dia berkenalan dengan seorang gadis yang menggunakan nama ‘Turazak Meriam’ kira-kira sebulan lalu melalui laman sosial, Facebook.

Menurutnya, laporan Sinar Harian semalam sama dengan pengalaman dia berkenalan dengan seorang wanita berasal dari Sabah dan kini mempunyai sebuah syarikat di United Kingdom serta menetap di London.

Menceritakan pengalamannya, Rohaizat berkata, dia pada mulanya berasa ragu-ragu sepanjang berbalas mesej dengan wanita terbabit kerana wanita itu enggan menjadi kenalannya dalam ruangan rakan di Facebook.

“Namun, wanita ini masih berbual dan menghantar mesej setiap hari dan pernah menyuruh saya mencari sebuah kondominium kerana katanya akan bercuti di Malaysia dan turut meminta saya menjadi pemandu pelancong.

“Oleh kerana dia sudah lama tidak pulang ke negara ini, dia sudah tidak ingat lokasi menarik dan meminta saya menemaninya sepanjang berada di Malaysia,” katanya semalam.

Rohaizat berkata, kelmarin wanita sama memaklumkan kepadanya supaya memeriksa e-mel kerana telah mengirim sejumlah barangan berharga kepadanya.

“Saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dan cuba menyiasat lebih lanjut helah digunakannya untuk memperdayakan saya.

“Pagi semalam selepas membaca Sinar Harian, saya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang mendakwa bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mahukan saya mengambil barang yang terkandas di sana.

“Tetapi lelaki itu memberi syarat memasukkan wang RM2,500 ke dalam sebuah akaun bagi melepaskan barang saya yang terkandas itu,” katanya.

Rohaizat berkata, dia mula mengesyaki berlaku penipuan dan tidak akan melayan lagi panggilan dan e-mel daripada wanita terbabit selepas ini.

Rohaizat seorang pengumpul barangan lama berkata, dia menggunakan laman sosial Facebook bagi tujuan perniagaan akan lebih berhati-hati selepas ini dan menasihati orang ramai di luar sana supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

No comments:

Post a Comment