Saturday, March 3, 2012

jba jadi paip

1,279 setuju bersama Paip
Wartawan Sinar Harian
3 Mac 2012

BENTA - Seramai 1,279 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) memilih untuk bersetuju bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) setelah syarikat itu dikorporatkan pada 1 Februari tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengang-kutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, seramai 53 penjawat pula memilih bersara termasuk ditamatkan kontrak atas persetujuan sendiri.

“Paip menawarkan pelbagai kemudahan kepada pegawai dan kakitangan berkenaan iaitu gaji kompetitif termasuk elaun perumahan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta prasyarat munasabah,” katanya selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 124 penduduk di Sekolah Menengah Teknik Lipis, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kakitangan JBAP setelah perjanjian pengkorporatan antara Kerajaan Negeri dan Paip ditandatangani, baru-baru ini.

Mohd Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta berkata, Kerajaan Negeri mengambil kira semua aspek pengkorporatan termasuk kebajikan pegawai dan kakitangan supaya mereka dapat bertugas dengan lebih selesa dan memberi perkhidmatan penuh integriti.

“Isu pengkorporatan bekalan air di negeri ini sudah selesai dan tidak wajar diuar-uarkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Sehubungan itu, saya minta wakil rakyat bersama JBAP menerangkan kepada penduduk mengenai kerelevanan pengkorporatan jabatan itu,” katanya.

Menurutnya, tujuan pengkorporatan supaya Paip dapat meningkatkan kecekapan operasi dengan memberi fokus kepada peningkatan hasil seperti mengurangkan air tanpa hasil, mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan dan kutipan.

No comments:

Post a Comment