Saturday, March 10, 2012

ambil anak angkat

LKPIM ambil dua anak angkat
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012
LKPIM
KUANTAN - Biarpun keadaan rumah kian usang dan sempit namun bagi 12 penghuni yang tinggal di Kampung Baru di sini tetap tabah menjalani kehidupan seharian walaupun serba sederhana.
Itu yang dialami bagi seorang ibu tunggal, Rahmah Mamat, 49, yang kehilangan suaminya sejak enam tahun lalu hidup bersama tujuh anak dan empat cucunya di rumah tersebut.

Menurutnya, keadaan bertambah perit selepas dia sendiri tidak dapat bekerja sebagai tukang masak sejak tiga tahun lalu kerana penyakit semput dan jantungnya yang membatasi dirinya mencari rezeki.

“Kini selain mengharapkan bantuan anak-anak dan bekas menantu, jiran dan penduduk kampung di sini banyak membantu kami anak-beranak.

“Selain itu, bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan secermat mungkin untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Rahmah ditemui ketika kunjungan Lembaga Kemajuan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Pahang Cawangan Perkampungan Sekilau di sini, semalam yang diketuai Pengerusinya, Rashidah Osman.

Hadir sama, Timbalan Pengerusinya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan, Habibah Mahayudin dan Bendaharinya, Fatimah Rohana Liki.

Dalam kunjungan itu, keluarga tersebut menerima bantuan bekalan harian dan wang tunai daripada LKPIM cawangan terbabit.

Rahmah berkata, dia terharu kerana nasibnya turut mendapat perhatian dan berterima kasih kepada LKPIM tersebut kerana peka dengan kesukaran yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Habibah memberitahu, dua anak Rahmah iaitu,Siti Nurhafika, 12 dan Mohd Khairul Hafizi Razak, 7 dijadikan anak angkat cawangan tersebut.

Menurutnya, perkembangan pendidikan kedua-duanya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Abdullah akan didibantu dari semasa ke semasa.

“Ini adalah aktiviti julung kalinya bagi tahun ini dan kita akan memastikan keperluan kedua-dua mereka ini akan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu bagi Siti Nurhafika ketika ditemui berkata, dia gembira kerana dia dapat belajar dengan lebih selesa dan tidak terlalu risau dengan masa depannya dan bertekad untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal didudukinya pada tahun ini.

“Saya akan membalas jasa yang diberikan dan berhasrat menjadi seorang doktor haiwan dan merubah nasib keluarga untuk masa depan lebih cerah,” katanya.

No comments:

Post a Comment