Saturday, March 10, 2012

pustaka baru

Bangunan baru Perpustakaan Negeri siap 2014
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012

KUANTAN- Bangunan baru Perpustakaan Negeri yang dibangunkan berkonsepkan bangunan pintar dengan penggunaan teknologi hijau dijangka siap dan dibuka sepenuhnya kepada pengunjung 2014.
Bangunan setinggi tiga tingkat itu bakal dibina atas tanah seluas 1.618 hektar di Kemunting di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, bangunan baru yang serba canggih dengan keluasan lantai 12,000 meter persegi itu akan menggantikan bangunan Perpustakaan Negeri sedia ada lama di Jalan Gambut di sini.

Menurutnya, bangunan Perpustakaan Negeri yang sedia ada sudah uzur dan digunakan sejak 1956.

“Asalnya bangunan papan itu merupakan pejabat Dewan Undangan Negeri sebelum diserahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang (PPAP) ,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas hadir merasmikan Karnival Buku Pahang 2012, anjuran PPAP di Dewan Pameran, Hotel Zenith di sini, semalam.

Adnan berkata, dengan siapnya bangunan baru itu, pengunjung dapat menggunakan kemudahan itu dengan lebih selesa manakala koleksi bahan bacaan juga dapat dibekalkan dengan jumlah lebih banyak berbanding hanya 200,000 naskah di perpustakaan negeri kini.

Majlis turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Induk Karnival Buku Pahang 2012, Datuk Shahaniza Shamsuddin, Exco Pelancongan, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Pengarah PPAP, Faridzah Jaafar.

No comments:

Post a Comment