Thursday, March 15, 2012

jerantut uptown

Uptown Jerantut tarikan baru


Sekumpulan penari pelbagai kaum mempersembah tarian 1Malaysia dan joget kepada pelancong sempena pelancaran Uptown Jerantut di Jalan Tahan, Bandar Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 14 Mac - Bandar Jerantut yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara Kuala Tahan di sini menambah satu lagi produk baru pelancongan berkonsepkan pasar malam sekali gus dapat menjana ekonomi dan pendapatan tambahan peniaga kecil di daerah itu.
Pelancaran Uptown Jerantut yang bermula di Jalan Tahan sehingga ke laluan Stesen Keretapi Jerantut di bandar itu menjadi salah satu produk pelancongan berkonsep laluan beli-belah.
Perancangan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dalam melaksanakan aktiviti secara tidak langsung menghidupkan suasana malam dengan pelbagai kemudahan rekreasi dan hiburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, produk pelancongan baru itu memberi keselesaan kepada pengusaha kecil menjana pendapatan menerusi kira-kira 100 lot niaga di situ.
"Jenama Tahan Street dan Uptown mampu memacu impak yang baik bukan sahaja dalam bidang ekonomi setempat tetapi berupaya meningkatkan kehadiran pelancong Barat dan domestik ke daerah ini.
"Persinggahan mereka semakin ramai menyebabkan MDJ membuka dimensi baru, iaitu melaksanakan sebuah kawasan berkonsepkan rekreasi untuk menghidupkan bandar itu pada waktu malam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, MDJ juga memberi peluang kepada seramai 50 usahawan tempatan merintis jualan pelbagai jenis cenderamata, pakaian dan makanan tempatan untuk pengunjung pada setiap malam.
Lee berkata, konsep 'uptown' di bandar itu masih bercirikan tempatan apabila MDJ juga membina Dataran Mat Kilau, pentas budaya dan pusat penerangan pelancong asing.
Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Mohamad Roslan Harun berkata, produk tempatan yang diperkenal adalah antara langkah membantu memberikan nilai tambah kepada imej sedia ada bandar Jerantut sebagai lokasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia.
"Kini, pelancong yang singgah ke sini dapat melihat suasana waktu malam dengan pelbagai kegiatan di bandar ini termasuk menikmati kemudahan rekreasi yang disediakan membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment