Saturday, March 10, 2012

lega sakit bila menteri datang

Terkedu terima ziarah menteri
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012
KUANTAN - Mangsa kemalangan, Noor Wahidah Abdul Wahab, 16 tidak menyangka nasib malang yang menimpanya sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Menurut pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Selendang, Rompin itu, dia amat terharu dan bangga kerana pemimpin tersebut sanggup menjenguk dan mengambil tahu perkembangannya selepas terlibat dalam kemalangan bersama guru dan tiga rakannya, 6 Mac lalu.

“Kesakitan yang saya alami seolah-olah reda seketika setelah menerima kunjungan Datuk Seri (Ismail) dan rombongannya tadi (semalam),” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pemimpin itu di Wad 2A, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, semalam.

Noor Wahidah berkata, kunjungan bersejarah itu bukan sahaja menggembirakan hatinya malah menyuntik semangat baru untuk dia belajar dengan lebih tekun demi mencapai cita-citanya.

“Buat masa ini saya terpaksa menerima rawatan dan perlu banyak berehat atas nasihat doktor.

“Saya akan kembali semula ke sekolah sebaik kecederaan pada kaki ini sembuh sepenuhnya,” kata pelajar yang aktif sejak tingkatan 1 dalam Persatuan Pengguna.

Menceritakan semula kejadian yang menimpanya beberapa hari lalu, Noor Wahidah berkata, dia dan tiga rakan serta seorang guru dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Pontian Jaya, Johor untuk menghadiri satu program.

Menurutnya, mereka bertolak dari sekolah menaiki kereta yang dipandu guru itu namun kira-kira 20 kilometer perjalanan mereka, kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan terbabas.

“Akibat kejadian itu, kami semua mengalami kecederaan dan dihantar ke HTAA serta Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

“Salah seorang rakan yang turut menerima rawatan di sini (HTAA), Shahirah Zaroni, 16 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya yang patah kaki kanan akibat kemalangan itu.

Ibunya, Fauziah Mat Noor, 47 berkata, dia berbesar hati kerana menteri itu sanggup meluangkan masa melawat anaknya,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Ismail mendengar penjelasan doktor mengenai keadaan pelajar itu dan turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu.

No comments:

Post a Comment