Friday, March 2, 2012

selalu curi balak

Tidak sempat dapat upah
ERMA YUSNIDA JUSOH
2 Mac 2012
balak
KUANTAN - Hasrat seorang pemandu lori untuk mendapatkan upah lumayan berjumlah RM150 bagi satu perjalanan memindahkan kayu balak curi hanya tinggal impian apabila ditahan oleh anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lori yang membawa muatan sembilan batang kayu spesies keruing lebih 40 kilometer itu terpaksa dikejar oleh anggota penguat kuasa sebelum berjaya ditahan dalam kawasan Taman Perumahan Seri Ku, dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Paiz Kamarazuman berkata, kayu spesies keruing berukuran 4.8 meter panjang itu bernilai lebih RM11,000 dimuatkan dalam sebuah lori lima tan.

Menurutnya, kayu berkenaan dipercayai ditebang tanpa lesen dari Hutan Simpan Chini, Pekan sebelum dimuatkan dalam lori untuk dihantar ke kilang papan.

“Dalam siasatan yang dibuat, kami mendapati pemandu lori berkenaan sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama malah dia ternyata tidak serik walaupun pernah dikenakan tindakan sebelum ini.

“Bagaimanapun lelaki yang berasal dari Felda Chini itu hanya bertindak sebagai pemandu sahaja, sementara itu lori berkenaan disewa oleh individu lain yang menjadi dalang kepada kegiatan tersebut,” katanya.

Mohd Paiz berkata, sebelum berjaya ditahan, anggota penguat kuasa terpaksa mengejar lori terbabit selepas usaha menahannya gagal apabila pemandunya bertindak licik dengan memasuki kawasan taman perumahan sebelum mereka tersekat di situ.

Beliau berkata, kejayaan melumpuhkan sindiket itu hasil maklumat orang awam yang sentiasa prihatin dengan aktiviti pencerobohan hutan terutama di kawasan Hutan Simpan Chini.

Katanya, lelaki terbabit kini ditahan bagi siasatan dalam usaha mengenal pasti lokasi sebenar pokok keruing yang ditebang seterusnya laluan yang digunakan.

“Saya berharap masyarakat dapat bekerjasama dengan kita dengan memberi maklumat terutama membabitkan aktiviti pencerobohan dan pengeluaran hasil hutan tanpa lesen.

“Terdapat beberapa kawasan hutan di negeri menjadi tumpuan aktiviti tidak bertanggungjawab itu dan usaha menyekatnya akan terus dilakukan oleh Unit Penguat kuasa negeri dan daerah,” katanya.

No comments:

Post a Comment