Saturday, March 10, 2012

mentakab banjir

Banjir kilat kerap berlaku
Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2012
banjir kilat
MENTAKAB – Lebih 20 keluarga di Taman Rimba di sini terpaksa berhadapan dengan kerugian setiap kali hujan lebat berikutan berlaku banjir kilat sejak lebih lima tahun lepas akibat kawasan kediaman mereka yang rendah.

Menurut penduduk, masalah itu juga berpunca daripada longkang yang terlalu kecil dan keadaan bertambah teruk apabila sebuah kompleks membeli belah dibina di kawasan kediaman mereka.


Mangsa banjir rugi lebih RM2,000

Sobaratul Kadri Ab Aziz, 42, berkata, kawasan kediaman yang sering dinaiki air akibat hujan lebat adalah ­jalan Inai, Mengkudu dan Selasih membabitkan lebih 20 rumah.

Menurutnya, mereka terpaksa menanggung rugi ekoran perabot dan mesin basuh sering kali rosak apabila berlaku hujan lebat lebih setengah jam.

“Terbaru, saya kerugian lebih RM2,000 apabila air masuk ke dalam rumah menyebabkan mesin basuh dan perabot tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Tan Cheng Sui, 66, berkata, dulu air masuk ikut pintu belakang rumah tetapi sejak pembinaan kompleks membeli belah air longkang dari se­luruh taman masuk dari kedua-dua arah depan dan belakang.

“Kami sudah tidak tahan dengan keadaan begini kerana terpaksa menanggung rugi setiap kali hujan lebat dan menggesa Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) melakukan sesuatu,” katanya.

Lee Ang Aun, 46, berkata, keadaan bertambah buruk sejak setahun lepas apabila longkang di tepi jalan utama bersebelahan kompleks beli belah itu runtuh dan pecah ketika kerja binaan dilakukan menyebabkan aliran air semakin tersekat.

“Kami tidak tahu nak buat macam mana lagi kerana sentiasa rugi setiap kali berlaku hujan lebat,” katanya kepada Sinar Harian.

Chow Thin Sang, 67, mendakwa terpaksa membelanjakan duit poket sendiri bagi membina tembok di hadapan dan belakang rumah bagi menyekat aliran air masuk.

“Saya pernah rugi RM2,000 tahun lepas akibat banjir kilat ini,” katanya.


PBT perlu kaji secara teliti

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat kajian teliti terutama berkaitan dengan potensi banjir sebelum meluluskan sesuatu kawasan bagi melaksanakan projek perumahan dan pembangunan kepada pemaju hartanah.

Mohd Sharkar berkata, terdapat beberapa kawasan perumahan di daerah ini yang terdedah kepada banjir.

Menurutnya, Taman Rimba dan Taman Mentakab Indah adalah antara kawasan yang mudah dinaiki air apabila berlaku hujan lebat kerana ia dibina di kawasan rendah dan terdedah kepada banjir.

“Ia menyebabkan penduduk terpaksa menanggung penderitaan dan berpindah ke pusat pemindahan sementara setiap kali hujan terutamanya musim tengkujuh.

“Adalah tidak adil kepada mereka yang terpaksa menanggung kerugian apabila barangan keperluan rumah seperti peralatan elektrik dan perabot rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada 47 mangsa banjir kilat dari Taman Mentakab Indah dan Taman Rimba, di sini.

Selain itu, beliau menggesa PBT memastikan pemaju perumahan melaksanakan tanggungjawab mereka membina sistem perparitan mengikut spesifikasi yang betul termasuk membina tembok menahan banjir di kawasan berpotensi dinaiki air.

Menurutnya, banjir kilat yang berlaku di Taman Rimba tiga hari lepas berpunca daripada kerja pembinaan kompleks membeli-belah di kawasan itu apabila pemaju tersebut tidak membuat saluran betul bagi membolehkan air ­mengalir apabila hujan lebat.

Beliau berkata, jika PBT mengambil mudah masalah tersebut ia akan menyebabkan kerajaan dan agensi itu sendiri menanggung beban serta dipersalahkan rakyat yang terbabit dengan banjir.

“Mereka akan mempersalahkan PBT kerana tidak menyelenggarakan kawasan kediaman mereka dengan baik sedangkan pemaju boleh lepas tangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment