Tuesday, March 20, 2012

akibat tidak daftar dengan cidb

35 kontraktor diberhentikan

Oleh ZAMZURINA AHMADzamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 19 Mac - Sebanyak 35 kontraktor di negeri ini yang mengendalikan projek bernilai antara RM500,000 hingga RM50 juta terpaksa diberhentikan tahun lalu kerana tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Pengarah CIDB Pahang, Suhaimi Mansor berkata, kebanyakan kontraktor sama ada yang utama atau subkontraktor dikenakan tindakan tersebut setelah gagal berdaftar dengan CIDB walaupun telah diberikan notis.

"Daripada jumlah itu, sebanyak lima kontraktor dihadapkan ke mahkamah kerana masih menjalankan operasi walaupun tindakan diambil.

"Ini kerana, menurut Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) tidak membenarkan sesiapa menjalankan dan menyiapkan apa-apa kerja pembinaan melainkan ia berdaftar dengan CIDB," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Kuantan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut Suhaimi, setiap kontraktor perlu berdaftar bagi memastikan mereka yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan kerja tersebut.

"Jika gagal mematuhinya mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 dan menghadapi risiko projek pembinaan dihentikan serta-merta," jelasnya.

Sementara itu katanya, program yang pertama kali diadakan dengan kerjasama agensi kerajaan ini bertujuan memudahkan pihak kontraktor untuk memahami prosedur berkaitan penguatkuasaan di dalam industri pembinaan.

"Selain mewujudkan kerjasama strategik, ia merupakan satu landasan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada penggiat industri dengan komprehensif dan optimum," jelasnya.

No comments:

Post a Comment