Friday, June 1, 2012

tebang pokok tepi jalan


ARKIB : 01/06/2012

Pokok getah tua di Jalan Cheneras perlu ditebang

POKOK getah tua di tepi Jalan Cheneras berdekatan persimpangan masuk ke Taman Permai semakin condong dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya ke bandar Kuala Lipis.
SELAKU pengguna jalan raya yang kerap melalui Jalan Cheneras ke bandar Kuala Lipis, saya terpanggil untuk melahirkan kebimbangan berikutan terdapat beberapa batang pokok getah tua yang semakin condong menghadap ke arah laluan berkenaan.
Sesuai dengan usianya, pohon berkenaan dipercayai sudah mempunyai akar tunjang yang reput kelihatan semakin condong ke arah jalan raya dan malang tidak berbau boleh mengundang kecelakaan kepada penduduk di laluan berkenaan.
Untuk makluman, pokok getah tua itu di tepi Jalan Cheneras berdekatan persimpangan masuk ke Taman Permai, bandar Kuala Lipis sudah semakin condong dan kami berasa bimbang khususnya ketika angin kencang melanda.
Laluan yang dipenuhi pokok tua berkenaan juga membahayakan orang ramai berurusan pada waktu puncak termasuk kepada kanak-kanak pergi balik dari sekolah di bandar Kuala Lipis dan Tempoyang.
Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya mencadangkan agar pokok berkenaan wajar ditebang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Apabila malang menimpa membabitkan nyawa orang yang tidak berdosa, dalam kalangan kita khususnya pihak berwajib memberi pelbagai alasan, termasuk menyerahkan takdir Allah semata-mata, tetapi kewajarannya risiko keselamatan perlu diberi keutamaan sebelum peristiwa buruk menimpa.
Saya selaku bapa kepada anak-anak yang masih kecil dan prihatin kepada insan lain berasa bimbang sekiranya hujan lebat dan disusuli angin kencang melanda kawasan itu dikhuatiri pokok getah itu boleh tumbang sekali gus menghempap kenderaan dan motosikal yang sedang melalui laluan berkenaan.
Risiko keselamatan juga perlu diberi perhatian iaitu pokok berkenaan juga akan menimpa kabel elektrik berdekatan laluan tersebut sekali gus menjejaskan keselesaan penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
Saya gamat berharap pihak berwajib dapat menebang dan membersihkan pokok getah itu dengan segera untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Lagipun, tidaklah salah jika projek pembersihan kayu-kayan yang tua memandangkan keperluan keselamatan awam selain mewujudkan persekitaran bandar Kuala Lipis dan kawasan perumahan yang selamat dan kondusif.
AHMAD TUA
Taman Permai, Kuala Lipis

No comments:

Post a Comment