Tuesday, June 12, 2012

basmi kemiskinan

ARKIB : 12/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Kerajaan negeri fokus basmi kemiskinan Orang Asli

JERANTUT 11 Jun - Kerajaan negeri tetap memberi fokus utama dalam mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan Orang Asli di pedalaman negeri ini supaya seimbang dengan kaum lain dari segi pendapatan.

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bergerak di landasan yang betul dan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana aspirasi membasmi kemiskinan Orang Asli dengan memberi tumpuan peningkatan pendapatan dan peluang pendidikan kepada mereka.

Menurutnya, berdasarkan rekod sebanyak 65.6 peratus kadar kemiskinan Orang Asli pada 2006 berjaya dikurangkan sehingga 49 peratus pada 2010.

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyasarkan sehingga 25 peratus kadar kemiskinan dikurangkan pada 2015 seterusnya memenuhi matlamat sifar menjelang 2020," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedaya upaya akan mengubah kehidupan kaum minoriti berkenaan menerusi pembahagian ekonomi yang saksama serta peluang dalam bidang pendidikan serta keusahawanan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, transformasi berkenaan berasaskan usaha motivasi bersungguh-sungguh oleh Jakoa dan agensi kerajaan untuk mengubah nasib kaum minoriti berkenaan.

"Boleh dikatakan kerajaan negeri sudah berjaya mengubah mentaliti dan anjakan paradigma suku berkenaan yang cuma tinggal lagi saki baki yang masih terikut dengan cara hidup tradisi lama," katanya.

Sehubungan itu katanya, pemimpin setempat dan agensi kerajaan diminta lebih kerap turun padang dengan memberi bantuan makanan, rawatan kesihatan dan kebajikan lain untuk memastikan mereka hidup selesa.

Jelasnya, Orang Asli di negeri ini masih dominan sebagai aset pelancongan kerana tarikan kebudayaan dan kesenian yang begitu unik dan jarang terdapat di negara lain.

"Kita menggalakkan mereka menonjol amalan budaya dan kesenian tradisi mereka untuk tatapan pelawat luar, sekali gus merancakkan sektor pelancongan di daerah ini dan Pahang amnya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment